Nadal, Federer kukuh kedudukan Eropah

PRAGUE: Rafael Nadal dan Roger Federer mengemudi pasukan Eropah yang ketika ini hanya kurang dua kemenangan untuk menjulang Piala Laver selepas menang perlawanan perseorangan masing-masing serta beregu, malam tadi.

Dua pemain yang menghuni tangga teratas ranking dunia itu memberikan pasukan Eropah yang diketuai legenda Bjorn Borg kelebihan 9-3 ke atas pasukan Dunia yang dikemudi John McEnroe selepas dua hari perlawanan di sini.

Selepas memenangi perlawanan perseorangan masing-masing, semua mata di O2 Arena tertumpu kepada gandingan Nadal dan Federer yang bermain dalam satu gelanggang bersama-sama buat pertama kali dalam karier mereka sepanjang lebih dua dekad.

Mereka memulakan perlawanan beregu menentang gandingan Sam Querrey dan Jack Sock dengan semangat tinggi apabila menang set pertama 6-4.

ROGER Federer (kiri) membalas bola pukulan dari pasukan Dunia pada hari kedua Piala Laver. - Foto EPA

Kedua-dua pemain yang penuh pengalaman ini tampak sukar untuk dihalang pada set pertama, namun suasana menjadi lebih serius pada set kedua apabila mereka tewas 6-1 untuk membolehkan pasangan Amerika Syarikat (AS) itu menyamakan kedudukan.

Begitupun, gandingan pemain yang mengumpul 35 gelaran Grand Slam di antara mereka kembali bangkit apabila mencatat kemenangan 10/5 pada penentuan super tie-break.

Begitupun selepas kemenangan, Nadal dan Federer menolak untuk bergandingan sebagai pasangan beregu di masa depan dengan berkata: "Ia bukan idea yang baik."

"Saya tidak mahu membunuh harapan kamu," kata Federer kepada Nadal.

Nadal, 31, berkata dia akan sentiasa mengingati malam di mana dia bergandingan buat pertama kali dengan seteru utama dan rakan baiknya itu.

AKSI Roger Federer (kanan) dan Rafael Nadal ketika menewaskan gandingan Sam Querrey dan Jack Sock dari pasukan Dunia pada hari kedua Piala Laver. - Foto EPA

"Sukar untuk kami lupakan selepas sejarah yang kami miliki sebagai pesaing. Sesuatu yang amat saya nikmati," kata bintang Sepanyol itu.

"Untuk mendapatkan kemungkinan Roger bermain di sebelah saya adalah satu penghormatan yang besar... sesuatu yang saya mahu ia berlaku pada satu tahap dan hari ini ia berlaku."

Federer, 36, kemudian berseloroh dengan mengatakan Nadal sudah bercakap semua perkara.

"Bagi saya secara peribadi ia adalah masa yang menakjubkan. Selepas ini, kami akan menjadi lawan semula, namun ini adalah sesuatu yang amat istimewa. Ini adalah memori sepanjang zaman." - AFP



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

0 Comments