Tujuh hujah KAGAT perlu jadi KUAT

TARIKH 16 September setiap tahun, bukan setakat dikenang sebagai Hari Malaysia, tetapi ia juga diingati sebagai Hari Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Berkongsi tarikh sama dengan Hari Malaysia adalah penghormatan tertinggi terhadap peranan ATM dalam menjaga kedaulatan negara dan memastikan Malaysia berada selamat, aman dan makmur.

Sempena Hari ATM, sebagai rakyat Malaysia kita mengucapkan penghargaan yang tidak boleh dinilai dengan wang ringgit atas pengorbanan anggota tentera. Mereka berkorban tenaga, masa, harta dan nyawa demi memastikan warga Malaysia hidup dalam suasana harmoni. Semoga pejuang yang mendahului kita dapat keampunan dan keredaan Ilahi. Hanya Allah jua membalas segala amal kebajikan mereka.

Antara kor yang memainkan peranan penting di sebalik kejayaan ATM ialah Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) yang ditubuhkan pada 16 April 1985. Ia adalah kor ke-16 dalam Tentera Darat Malaysia (TDM). Penugasannya meliputi ketiga-tiga perkhidmatan ATM iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Perkhidmatan keagamaan

Sebagai kor dalam Tentera Darat Malaysia, KAGAT memberi pendidikan dan perkhidmatan keagamaan kepada seluruh warga ATM. Ia membantu ATM melahirkan anggota tentera yang memiliki daya tempur kerohanian tinggi di samping berperanan sebagai pendakwah tentera dalam menyampaikan ilmu agama dan mengajak seluruh warga ATM menghayati ajaran Islam berdasarkan al-Quran dan as-Sunnah. Segala bentuk penghayatan agama dilaksanakan secara praktikal dan berhikmah ikut realiti dan keperluan semasa.

Pada awal penubuhannya, KAGAT dipimpin pengarah berpangkat Brigadier Jeneral. Kini ia dipimpin ketua pengarah berpangkat Mejar Jeneral dan dibantu Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan dan Timbalan Ketua Pengarah Operasi berpangkat Brigadier Jeneral.

Antara tokoh KAGAT ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mejar Jeneral (B) Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Allahyarham Brig Jeneral Datuk Seri Abdul Hamid Zainal Abidin.

Antara transformasi dicadangkan ialah penjenamaan semula KAGAT kepada KUAT. KUAT adalah singkatan yang lebih tepat kepada Kor Ugama Angkatan Tentera. Ini adalah berdasarkan kepada beberapa hujah atau alasan kukuh pihak yang berkaitan.

Hujah pertama ialah, perkataan 'KAGAT' tidak mempunyai sebarang entri dan makna dalam bahasa Melayu. Apa yang tertera dalam Kamus Dewan ialah perkataan 'KAGET' yang membawa erti terkejut. Perkataan ini langsung tidak sesuai dengan imej askar. Berbeza dengan perkataan 'KUAT' yang membawa banyak makna. Antaranya, perkasa, kukuh, banyak tenaga, tidak lemah, tidak mudah roboh, rosak atau putus dan tidak mudah menyerah kalah. Jadi, perkataan ini sangat sinonim dengan imej seorang askar.

Hujah kedua ialah, cara pengambilan huruf akronim Kor Agama Angkatan Tentera. Persoalan di sini bagaimana kita tidak berlaku adil apabila ambil satu huruf daripada perkataan Kor (K), Angkatan (A) dan Tentera (T) tetapi mengambil dua huruf daripada perkataan Agama (AG)?

Disebut 28 kali dalam al-Quran

Sepatutnya kita berlaku adil dengan mengambil akronim satu huruf daripada setiap perkataan. Oleh itu, jika kita mengambil satu huruf daripada perkataan Kor (K), Ugama (U) Angkatan (A) dan Tentera (T), kita pasti dapat hasil menakjubkan iaitu 'KUAT'.

Hujah ketiga ialah, ejaan agama menggunakan huruf 'A' dan ugama yang guna huruf 'U' diterima dalam Kamus Dewan sebagai entri perkataan. Walaupun di Malaysia kita lebih cenderung menggunakan ejaan agama bermula dengan 'A' itu bukanlah bermakna kita tidak boleh menggunakan ejaan ugama yang bermula dengan huruf 'U'. Penggunaan ejaan ugama yang bermula dengan huruf 'U' sangat berleluasa digunakan di Indonesia, Brunei dan Singapura.

Hujah keempat pula ialah perkataan 'KUAT' adalah kata pinjaman yang berasal daripada perkataan Arab. Ia berasal daripada gabungan huruf (qaf-wau-ya). Gabungan ini disebut 42 kali dalam al-Quran al-Karim. Perkataan 'KUAT' secara jelas disebut 28 kali. Kekerapannya menunjukkan betapa pentingnya kekuatan dalam kehidupan kita, terutama dalam bidang ketenteraan.

Hujah kelima ialah, perkataan 'KUAT' disebut jelas dalam ayat asas ketenteraan iaitu dalam surah ke-8 iaitu Surah al-Anfal ayat ke-60 yang bermaksud "Hendaklah kamu bersiap sedia untuk menghadapi mereka dengan apa saja kekuatan yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berpegang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah, musuhmu dan orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya, sedang Allah mengetahuinya. Apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah nescaya akan dibalas dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya."

Hujah keenam ialah perkataan 'KUAT' dalam bahasa Arab dan perkataan nama Allah 'al-Qawiyyu' yang membawa makna (Yang Maha Kuat) adalah gabungan huruf asas sama iaitu gabungan qaf-wau-ya. Sehubungan itu bila kita menggunakan KUAT ia ada kaitan secara langsung dengan Allah Yang Maha Kuat.

Hujah ketujuh ialah kos menulis akronim 'KAGAT' lebih banyak berbanding 'KUAT' kerana bilangan huruf 'KAGAT' adalah lima huruf. Kos ini akan lebih ketara apabila kita menulis perkataan itu di papan tanda besar atau ketika membina menara atau tugu yang melambangkan imej sebuah kor angkatan tentera yang digeruni lawan dan disegani kawan.

Diharapkan transformasi penjenamaan semula KAGAT kepada KUAT dapat pertimbangan sewajarnya. Semoga usaha kor ke-16 Angkatan Tentera Malaysia ini sentiasa mendapat taufik dan hidayah Allah dalam menjaga kedaulatan negara Malaysia agar rakyat jelata berada dalam selamat, aman dan makmur.

Penulis adalah Pensyarah Cemerlang Bahasa Arab, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Raja Melewar, Seremban



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

0 Comments