KABUL: Kira-kira 15 tentera Afghanistan terbunuh dalam serangan nekad ketika mereka meninggalkan akademi tentera dekat sini, hari ini.
"Ketika sebuah bas mini membawa kadet tentera keluar daripada akademi tentera petang tadi, seorang penyerang nekad menyasarkan mereka dan menyebabkan 15 maut, manakala empat lagi cedera," kata jurucakap Kementerian Pertahanan, Dawlat Waziri kepada AFP.
Ketua Cawangan Jenayah tentera Kabul, Jeneral Mohammad Salim Almas, berkata polis melancarkan satu siasatan terhadap serangan itu yang berlaku di barat bandar Kabul.
"Sebuah bas mini yang membawa pelatih tentera menuju rumah mereka dari akademi tentera Marshal Fahim," kata Almas kepada AFP.
Bagaimanapun, setakat ini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab dalam serangan itu.
Insiden itu adalah yang kedua membabitkan serangan nekad di ibu negara Afghanistan dalam tempoh 24 jam dan serangan ketujuh di Afghanistan sejak Selasa lalu, yang mengorbankan lebih 200 orang, manakala beratus lagi cedera. - AFP
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
0 Comments