SHAH ALAM: Skuad AAB MBSA A muncul juara kejohanan bola sepak, Selangor Grassroots League 2017 (SGL 2017) selepas menewaskan Putra Kids FC (PKFC) 1-0 pada aksi final di Kompleks Sukan SUK Selangor, Shah Alam, Selangor, semalam.
Jaringan tunggal perlawanan dijaringkan pemain cilik AAB MBSA A, Mohammad Haykal Danish Mohd Haizon, menerusi sepakan penalti pada minit ke-33.
TENGKU Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah bersalaman dengan pemain AAB MBSA A sebelum perlawanan bermula.
Tersentak dengan jaringan itu kedua-dua pasukan kemudian bergilir-gilir melakukan serangan namun AAB MBSA A dan PKFC gagal menambah gol sehingga tamat 90 minit masa perlawanan dengan keputusan muktamad 1-0, sekali gus muncul juara.
Manakala, pasukan Kuala Langat serta pasukan AAB MBSA JR berada di tempat ketiga bersama selepas masing-masing tewas di peringkat separuh akhir dan Mustaqim Hajeekirn Mohd Haikal dari pasukan PKFC dipilih sebagai pemain paling bernilai kejohanan.
AKSI pemain AAb MBSA A, Muhammad Danish Mohd Nizam Khalid (kanan) mengekang pemain PKFC.
Majlis penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Keberangkatan Tengku Amir Shah yang juga individu bertanggungjawab untuk mengilhamkan SGL menyuntik semangat bakat cilik dan menunjukkan betapa seriusnya baginda dalam melahirkan bakat muda khususnya dalam sukan bola sepak di negeri Selangor.
Sementara itu, Pengarah SGL, Dr Johan Kamal Hamidon, berkata penganjuran kejohanan berkenaan antara lain bertujuan menggilap lebih ramai bakat muda dalam sukan bola sepak di Selangor.
PEMAIN AAB MBSA A dan Putra Kids FC bergambar bersama Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah (belakang tengah) sebelum sepak mula aksi final.
"Penganjuran SGL diharap dapat menerapkan gaya hidup sihat dan pendedahan awal kepada anak muda Selangor mengenai sukan bola sepak tanah air," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
0 Comments