PEKAN: Semua pegawai dan anggota Askar Wataniah perlu memiliki kemahiran setanding Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi memastikan objektif penubuhan barisan kedua pertahanan negara itu dicapai.
Komander Rejimen 505 Askar Wataniah, Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, pegawai dan anggota Askar Wataniah perlu memanfaatkan latihan sebaik mungkin untuk meningkatkan tahap profesionalisme.
"Setiap pegawai dan anggota Askar Wataniah perlu melengkapkan diri dengan kemahiran kerana objektif penubuhan pasukan ini bagi membantu ATM apabila dimobilisasikan.
"Setiap anggota perlu mengikuti segala latihan dengan penuh tekun dan bersemangat bagi memperoleh ilmu baharu. Pada masa sama, kita perlu mengutamakan kerjasama berkumpulan serta menunjukkan semangat setiakawan pada setiap masa," titahnya.
Baginda bertitah pada Perbarisan Perasmian Latihan Kem Tahunan 2017 di Kem Rejimen 505 Sungai Miang, dekat sini, hari ini. Yang turut hadir Timbalan Komander Rejimen 505 Askar Wataniah, Leftenan Kolonel Azrul Syamsul Sahak.
Pada majlis itu, Tengku Abdullah turut menyempurnakan pemakaian pangkat kepada seorang pegawai dan tujuh anggota lain-lain pangkat.
Baginda bertitah, semua peringkat anggota sukarela mestilah memainkan peranan masing-masing dengan penuh kesungguhan dan memberikan galakan kepada rakan yang lain untuk mengikuti siri latihan dianjurkan rejimen berkenaan.
Baginda turut menyarankan lebih ramai golongan belia menyertai sukarelawan askar wataniah pada masa akan datang.
"Kita mempunyai kira-kira 680,000 belia di negeri Pahang yang tidak bekerja dan kita menggalakkan sekurang-kurangnya 10 peratus daripadanya menyertai askar wataniah.
"Kita perlu menggalakkan mereka menyertai askar wataniah secara sukarela dan ini akan menunjukkan kesungguhan mereka berjuang demi menjaga kedaulatan negara," titah baginda.
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
0 Comments