Syria ikat Australia

Oleh Nazri Abu Bakar

bhsukan@bh.com.my

Foto Khairunisah Lokman

MELAKA: Syria menghidupkan peluang layak ke Piala Dunia 2018 selepas mengikat Australia 1-1 pada kempen kelayakan playoff zon Asia di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput sebentar tadi.

Memiliki beberapa peluang menghadiahkan jaringan pendahuluan namun Syria yang turun sebagai tuan rumah gagal menyudahkan dua kesempatan terbaik menerusi Omar Alsoma pada minit ke-33 dan minit ke-37 selepas  percubaannya tinggi melepasi palang gol.

Australia turut memiliki peluang mencipta gol pembukaan dua minit selepas itu namun percubaan menerusi Mathew Leckie berjaya diselamatkan penjaga gol Ibrahim Alma.

Pencarian gol buat Socceroos akhirnya berhasil menerusi rembatan Robbie Kruse pada minit ke-39 untuk ceria mendahului pada babak pertama.

Bersambung di babak kedua pelawat hampir menambah jaringan kedua mereka pada minit ke-49 dan 50  namun  percubaan Tomi Juric sekadar menggegar tiang gol Syria.

Apapun, perang saudara di negara berkenaan tidak menggugat kesungguhan Syria melakukan ancaman ke gawang Australia dalam usaha mencari tiket ke Piala Dunia jika mampu mengatasi juara Asia terbabit.

Percubaan penyerang bahaya mereka, Alsoma pada minit ke-61 diselamatkan penjaga gol Mathew Ryan sementara tolakan pada minit ke-77 sekadar terkena tiang gol sebelah kiri Australia.

Akhirnya gol penyamaan Syria hadir menerusi sepakan penalti Alsoma pada minit ke-84 selepas dia dikasari sekali gus menghadiahkan keceriaan kepada kira-kira 2,000 penyokong setia mereka yang hadir.

Namun ujian tetap getir buat Syria bagi saingan pusingan kedua di Sydney, Australia Selasa depan dan jika melepasi halangan terbabit, ada dua lagi aksi playoff sebelum mara ke Rusia 2018.

Pada aksi kelayakan Asia sebelum ini, Syria yang dibimbing jurulatih Ayman Alhkeem mencatat keputusan seri dengan Korea Selatan dan Iran serta mengatasi China, Uzbekistan dan Qatar.



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

0 Comments