Kelayakan AFC 2019: Adam sedia pertahan benteng

PETALING JAYA: Tonggak pertahanan Selangor, Adam Nor Azlin bersedia menggalas tanggungjawab besar jika dipilih untuk digandingkan bersama Shahrom Abdul Kalam dalam aksi penting Kelayakan Kejohanan AFC 2019 bertemu Hong Kong di Stadium Hong Kong, Selasa ini.

Adam, 21, disenaraikan pengendali negara, Nelo Vingada bagi menggantikan pertahanan tengah Johor Darul Ta'zim (Johor DT), Aidil Zafuan Abdul Razak yang digantung ekoran menerima dua kad kuning ketika menentang Hong Kong di Stadium Hang Jebat, 5 September lalu.

"Jika diturunkan, saya bersedia berganding dengan Shahrom atau sesiapa saja di pertahanan tengah.

"Memang ini pengalaman pertama saya dapat beraksi bersama skuad senior jika diturunkan nanti, pastinya saya cukup teruja untuk bermain.

"Pengalaman di skuad B-22 tak sama dengan pasukan senior kerana tahap kompetatifnya jauh lebih mencabar. Dengar pula mereka (Honh Kong) membariskan ramai pemain naturalisasi, sudah tentu saya perlu bersedia daripada segi mental dan fizikal.

"Begitupun, sama ada saya atau pemain lain yang diturunkan tidak menjadi masalah kerana tugas dan misi adalah sama iaitu tidak mahu gawang dibolosi," katanya ketika ditemui semasa sesi latihan pasukan di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), di sini, hari ini.

Adam yang beraksi cemerlang ketika bersama skuad bawah 22 tahun negara (B-22) berjaya meraih pingat perak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 pada Ogos lalu.

Selain itu, pemain kelahiran Klang, Selangor itu turut membantu pasukan B-22 kendalian Datuk Ong Kim Swee layak ke pusingan akhir Kejohanan AFC B-23 di China, tahun depan.

Bagaimanapun, Adam mengakui bukan mudah untuknya bersaing merebut posisi utama dengan kehadiran pemain pertahanan berpengalaman yang juga ketua pasukan Kedah, Khairul Helmi Johari.

"Dipanggil untuk menyertai latihan skuad kebangsaan pun satu pengalaman yang baik, dan saya akan cuba untuk merebut tempat dengan pemain lebih berpengalaman," katanya.



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

0 Comments