Budak dirantai menangis mahu ikut bapa kandung

KUANTAN: Kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang dirantai pada tong gas oleh bapa tirinya di sebuah rumah di Indera Mahkota, di sini, menangis teresak-esak ketika bapa kandung melawatnya di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahaniza Shamsuddin, berkata bapa kandung kanak-kanak itu datang dari Teluk Mas, Melaka pada jam 5 petang dan menghubungi pegawai pelindung kanak-kanak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk melawat anaknya.

"Saya berpuas hati dengan identiti lelaki berusia 36 tahun berkenaan yang mendakwa bapa kandung sebelum pegawai pelindung kanak-kanak JKM membawanya berjumpa dengan anaknya," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Shahaniza berkata, kanak-kanak berkenaan begitu gembira dapat berjumpa bapa kandungnya dan menangis kerana mahu mengikutnya pulang.

"Namun disebabkan kes masih dalam siasatan polis dan kanak-kanak berkenaan dilindungi di bawah akta kanak-kanak, JKM tidak akan membenarkan ahli keluarga datang mengambil.

"Kita tunggu anak ini keluar dari hospital dan pihak JKM akan membuat laporan dan memberikan kepada mahkamah. Selepas itu, mahkamah akan menentukan siapa yang layak untuk menjaga kanak-kanak ini," katanya.

Semalam, ketika menerima kunjungan Shahaniza di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, kanak-kanak itu memaklumkan mengenai hasrat untuk berjumpa bapa kandungnya yang difahamkan menetap di Melaka.

Kanak-kanak itu memaklumkan kali terakhir dia berjumpa dengan bapa kandungnya adalah pada Hari Raya Aidilfitri tahun lalu.

Shahaniza berkata, beliau sendiri berjumpa dengan bapa kandung kanak-kanak berkenaan.

"Bapa kandung kanak-kanak itu meminta privasi dia dan keluarganya dijaga. Sebab itu dia tidak mahu nama dan gambarnya diambil," katanya.

Dalam pertemuan itu, katanya, lelaki berkenaan menyatakan kesediaannya untuk menjaga kanak-kanak berusia 10 tahun itu termasuk dua lagi abangnya.



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

0 Comments