PUTRAJAYA: Generasi milenia harus menjadi ejen transformasi nasional sekali gus mengambil bahagian dalam mencorakkan masa depan negara.
Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, berkata beliau percaya anak muda, terutama dalam kalangan generasi milenia perlu mengambil tempat dan memainkan peranan aktif dalam pembangunan arus perdana.
"Sebagai jurucakap transformasi, anda semua harus memainkan peranan seperti bercakap perkara yang baik dan positif tentang negara malah, harus bijak menangkis hujah negatif pihak yang tidak bertanggunggjawab.
"Selain itu, saya menyeru supaya generasi milenia memanfaatkan sebaik-baiknya penggunaan media sosial yang memainkan peranan besar dan mampu mempengaruhi minda pembaca melalui penulisan, propaganda atau idea kretif," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Perdana Perasmian Penutupan Orator Milenia 2017 di Seri Perdana di sini, malam tadi.
Hadir sama Pengerusi Yayasan Minda, Tan Sri Prof Dr Ibrahim Abu Shah dan Pengerusi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) merangkap Penasihat Pengerusi Aspirasi Malaysia (Aspirasi), Datuk Seri Dr Adham Baba.
Program Orator Milenia dengan tema Minda Futuristik, Aspirasi Milenia adalah salah satu program di bawah Siri Jelajah Milenia anjuran bersepadu oleh Yayasan Minda, Kementerian Pendidikan dan Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia.
Orento Milenia menyediakan ruang perdebatan dan percambahan idea oleh generasi milenia dalam menyampaikan aspirasi mereka demi masa depan Malaysia.
Rosmah yang juga Penaung Yayasan Minda berkata, sebarang perkara yang disebarkan melalui media sosial menunjukkan nilai integriti diri masing-masing.
"Amalkan budaya 'double check' sesuatu data dan maklumat yang diterima supaya kita dapat bertanggungjawab atas maklumat yang mahu disampaikan," katanya.
Terdahulu, seramai 350 pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah dari seluruh negara berkongsi aspirasi milenia melalui pertandingan debat, bicara tunas dan pertandingan pitching.
Pada majlis itu Rosmah turut menyampaikan hadiah bagi Pertandingan Debat Alaf Baru, dimenangi Sekolah Dato Abdul Razak (SDAR), Negeri Sembilan yang membawa pulang wang tunai RM3,000, piala pusingan, piala iringan dan sijil penyertaan.
Amin Baihaqi dari SDAR dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik (Akhir) yang membawa pulang wang tunai RM500, piala iringan dan sijil penyertaan.
Johan bagi Pertandingan Pitching dimenangi Roshah James Robert James dari Sekolah Kebangsaan St Francis, Perak manakala juara bagi Pertandingan Tunas pula dimenangi Syed Ali Zufar Alkaff Syed Muhammad Azani dari Sekolah Kebangsaan Kidurong, Sarawak masing-masing berjaya membawa pulang wang tunai RM1,000, piala iringan dan sijil penyertaan.
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
0 Comments