Skuad remaja tewas lagi

JOHOR BAHRU: Skuad remaja negara terus ditimpa malang apabila tewas 1-2 kepada juara remaja dunia, India pada aksi kejohanan hoki Piala Sultan Johor di Stadium Hoki Taman Daya, sebentar tadi.

Ia kekalahan kedua berturut-turut selepas aksi pertama semalam skuad kendalian Wallace Tan tumpus tipis 0-1 kepada Britain dan situasi itu tampak menyukarkan peluang skuad remaja negara untuk berada di kelompok tiga teratas.

Skuad remaja negara bermula garang apabila kesempatan daripada pukulan sudut penalti seawal minit ketiga membuahkan hasil selepas Firdaus Omar menolak bola tepat ke penjuru kiri menewaskan penjaga gol India, Pankaj Rajak.

Jaringan itu nyata mencetus semangat skuad remaja negara yang terus menggandakan asakan bagi memburu gol seterusnya namun kekebalan benteng skuad kendalian Jude Sebastian menyukarkan barisan pemain tuan rumah untuk menyusup masuk ke dalam kawasan D.

Penjaga gol tuan rumah, Zaimi Mat Deris menjadi penyelamat bagi mengelak India menyamakan jaringan selepas berjaya menepis bola tolakan deras Harmanjit Singh menerusi pukulan sudut penalti pada minit kesembilan dan kedudukan 1-0 memihak tuan rumah kekal hingga tamat suku pertama.

Bagaimanapun, sebaik suku kedua bermula, India nyata menguasai permainan dan bangkit menyamakan menerusi gol padang Dilpreet Singh pada minit ke-19 yang melakukan pukulan kilas yang gagal diselamatkan Zaimi.

Tuan rumah terlepas peluang untuk menambah jaringan pada minit ke-27 tatkala meraih pukulan sudut penalti kedua apabila bola tolakan Firdaus mudah dipatahkan pertahanan India malah pukulan sudut penalti ketiga selang dua minit kemudian juga gagal diterjemahkan dengan jaringan selepas tolakan Firdaus terkena tiang gol.

Sebaliknya, India menghukum kealpaan benteng tuan rumah apabila mencipta gol padang pada minit ke-44 selepas Dilpreet yang tidak dikawal mudah menolak bola ke gawang gol yang terbuka luas sekali gus menjadi gol kemenangan.

Sementara itu, juara bertahan, Australia mengukuhkan kedudukan di tangga teratas kejohanan selepas membenam Jepun 4-0.

Jaringan skuad Borras dihasilkan Nathan Ephraums menerusi gol padang pada minit ke-33 dan selang tiga minit Nathanael Stewart meletakkan skuad kendalian Brent Livermore selesa mendahului 2-0 hasil jaringan pukulan sudut penalti.

Australia menambah derita anak didik Kyoichi Nagaya apabila Liam Flynn menjaringkan gol padang pada minit ke-39 dan Andrew Scanlon mencipta jaringan hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-44 bagi melengkap kemenangan bergaya juara edisi keenam.

Pendatang baru kejohanan itu, Amerika Syarikat terus menjadi pasukan belasahan selepas Britain menbenam anak didik Brian Schledorn 11-0 dan keputusan itu menyaksikan pasukan 'Uncle Sam' itu kekal di tangga tercorot.



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

0 Comments