BUTTERWORTH: "Syikin, tolong ibu... tolong ibu..."
Kalimah berkenaan menjadi ayat terakhir diucapkan Noriah Kasa, 40, ketika menelefon anaknya dalam keadaan kesakitan selepas terbabit dalam nahas dua bas berhampiran Plaza Tol Juru di sini, awal pagi tadi.
Ketika itu, Norasyikin Zuryanidufizan, 22, yang juga bekerja di sebuah kilang, berada dalam van untuk ke tempat kerja tetapi terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.
Anak sulung daripada tiga beradik itu langsung tidak menyedari kesesakan berpunca daripada nahas yang meragut lapan nyawa termasuk ibunya.
"Masa dapat panggilan dan dengar ibu cakap macam tu, saya terus berdebar. Tiba-tiba saya saya jadi gelisah dan asyik teringat apa yang ibu katakan.
"Saya hubungi seorang rakan dan meminta dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ). Sampai di hospital, saya dimaklumkan ibu antara yang terkorban," katanya ketika ditemui di Unit Forensik hospital berkenaan, hari ini.
Kebetulan mempunyai jadual waktu kerja yang sama, Norasyikin berkata, ibunya rancak berbual sebelum mereka meninggalkan rumah pagi tadi.
Malah, katanya, mereka sama-sama bersiap dan keluar rumah serentak.
"Ibu menaiki bas manakala saya menaiki van kilang. Sudahnya jadi begini," katanya.
Noriah yang meninggal dunia dalam perjalanan HSJ, adalah ibu tunggal dengan tiga anak berusia antara 12 hingga 22 tahun.
Allahyarham satu-satunya rakyat tempatan yang maut susulan kemalangan di Kilometer 147 (KM147) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) jam 6 pagi tadi.
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
0 Comments