KUALA LUMPUR: Menjelang aksi sulung di pusingan pertama Terbuka Perancis esok, pemain beregu lelaki negara Ong Yew Sin mengakui sudah semakin serasi bergandingan dengan pemain senior yang juga bekas pasangan nombor satu dunia, Tan Wee Kiong.
Menurut Yew Sin, selepas hampir sebulan berlatih bersama Wee Kiong, banyak yang dipelajari daripada pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio itu dan berharap aksi pertama mereka bertemu pasangan Jerman, Jones Ralfy Jansen-Josche Zurwonne esok berakhir dengan kemenangan.
"Memang banyak lagi saya perlu belajar dari Wee Kiong namun untuk aksi pertama nanti saya berharap hanya mampu memberikan permainan normal sama seperti sebelum ini. Jika kami berjaya mengejutkan beberapa pasangan pilihan ia akan membuatkan kami lebih kuat," kata pemain kelahiran Melaka itu.
Jelasnya, antara perkara baru yang dipelajari ketika bergandingan bersama Wee Kiong ialah membuat pukulan mengikut rentak permainan pasangannya itu.
"Memang tidak sama berbanding ketika saya bergandingan dengan Teo Ee Yi. Bagaimanapun, saya akui lama-kelamaan kami akan memahami antara satu sama lain apabila sudah mendapat rentak. Saya dengan dia (Wee Kiong) juga tidak mempunyai sebarang masalah sebelum digandingkan. Baik dari segi komunikasi mahupun ketika bergandingan.
"Daripada segi tekanan memang ada kerana saya bimbang akan melakukan kesilapan dan tidak memenangi perlawanan. Bagaimanapun, Wee Kiong memberitahu saya tidak perlu berasa tertekan dan melihat kepada keputusan kalah atau menang. Saya sendiri juga mempunyai sasaran untuk melakukan satu demi satu kejutan ketika bertemu lawan lebih kuat," kata Yew Sin.
Selepas beraksi di Terbuka Perancis, Yew Sin-Wee Kiong akan beraksi di Terbuka Bitburger di Jerman di mana mendapat bye di pusingan pertama.
Jika berjaya menumpaskan Ralfy Jansen-Zurwonne, menanti mereka di pusingan kedua Terbuka Perancis ialah pilihan kedua dari Denmark, Mathias Boe-Carsten Mogensen.
Bekas rakan segandingan Wee Kiong, Goh V Shem pula akan bergandingan bersama Ee Yi dan mereka berdepan Or Chin Chung-Tang Chun Man dari Hong Kong esok di pusingan pertama, manakala Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani pula menentang Takuro Hoki-Yugo Kobayashi (Jepun).
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
0 Comments