Ada 139 pelajar di Bali

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi menyatakan seramai 139 orang pelajar Malaysia masih berada di Bali manakala 16 lagi kembali ke Malaysia, susulan letusan Gunung Agung di pulau peranginan itu.

Kementerian berkenaan, dalam kenyataan malam ini, berkata semua pelajar itu mengikuti program perubatan di Universitas Udayana dan berdaftar dengan Education Malaysia (EM) Indonesia.

"Pelajar terbabit selamat memandangkan Gunung Agung berada dalam jarak 61 km dari Denpasar, Bali dan mereka masih menjalankan aktiviti harian seperti biasa," menurut kenyataan itu.

Kementerian itu berkata, tindakan proaktif telah diambil untuk memastikan kesiapsiagaan EM Indonesia mengaktifkan proses pemindahan sekiranya perlu, membabitkan bantuan logistik kepada pelajar untuk keluar dari Kepulauan Bali ke kawasan yang selamat seperti Surabaya.

Selain itu, keperluan penginapan sewaktu fasa pemindahan, pengecualian kuliah dan keperluan lain bagi menjamin keselamatan pelajar akan turut diberi perhatian.

Kenyataan itu memaklumkan ia sedang membuat pemantauan rapi dengan kerjasama Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia cawangan Bali dan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta melalui Jawatankuasa Keselamatan yang disertai wakil Konsul Kehormat Malaysia di Bali. - BERNAMA



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

0 Comments