Terima kasih KAFA: Nik Akif

KOTA BHARU: Pemain muda berbakat, Nik Akif Syahiran Nik Mat menganggap peluang yang diberikan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) untuk beraksi bersama The Red Warriors (TRW) musim depan adalah medan terbaik untuk mengembangkan bakatnya.

Nik Akif yang juga pemain Skuad Bawah 19 Tahun (B-19) negara itu berkata, selain menyarung jersi kebangsaan, mewakili pasukan kelahirannya juga disifatkan peluang yang berguna bagi dirinya untuk terus menimba ilmu dalam bola sepak.

"Alhamdulillah ia adalah rezeki buat saya... saya juga berterima kasih kepada KAFA kerana memberi peluang dan kepercayaan ini.

"Apa-apa pun saya masih pendatang baru dalam bola sepak dan banyak saya perlu belajar... saya berharap dengan peluang ini dapat memberi saya pengalaman dalam masa sama dapat berbakti dengan negeri kelahiran," katanya ketika dihubungi, hari ini.

PEMAIN skuad B-19 negara, Nik Akif Syahiran (no 8) ketika mewakili negara pada aksi kelayakan Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-19 di Paju, Korea Selatan. - Foto AFC

Pada masa sama, Nik Akif, 18, berkata perkara utama yang perlu difokuskan nanti adalah menyesuaikan diri dengan barisan pemain TRW serta pemain import pasukan.

"Bukan mudah untuk biasakan diri lebih-lebih lagi bersama pasukan yang beraksi dalam liga utama bola sepak negara.

"Sudah pasti suasana dan cabaran juga berbeza dengan sebelum ini yang saya wakili beraksi dengan skuad Piala Presiden.

"Saya berharap cepat menyesuaikan diri nanti dan diberi peluang beraksi sepenuhnya membantu TRW," katanya.

PEMAIN skuad B-19 negara, Nik Akif Syahiran (no 8) ketika mewakili negara pada aksi kelayakan Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-19 di Paju, Korea Selatan. - Foto AFC

Sabtu lalu, KAFA menyenaraikan barisan pemain awal yang bakal menjalani latihan pertama pada 20 November ini sebagai persiapan pasukan itu menjelang Liga Super musim depan.

Nik Akif antara lima pemain Piala Presiden yang diserap ke dalam barisan itu selain Mohd Daniel Asyraf Abdullah, Nik Azli Nik Alias, Mohd Imran Samso dan Muhd Saiful Alias.



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

0 Comments