KUALA LUMPUR: Pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao bertekad untuk memberikan aksi terbaik apabila beraksi pada saingan Cabaran Antarabangsa Malaysia di Pasir Gudang, Johor, esok.
Dia yang bakal membuat penampilan pertama dalam kejohanan di peringkat senior sejak memenangi pingat perak pada Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Yogyakarta, Indonesia, bulan lalu turun dengan misi untuk menutup kempen musim ini dengan cemerlang.
Bagaimanapun, pemain berusia 18 tahun itu tidak berdepan laluan mudah apabila dijangka bertemu pilihan utama, Yu Igarashi dan juara kebangsaan, Lim Chi Wing.
"Saya tidak terlalu fikir mengenai laluan saya dalam kejohanan ini kerana fokus utama saya adalah persiapan diri sendiri. Ini adalah kejohanan pertama saya di peringkat senior sejak Kejohanan Remaja Dunia dan saya mahu menghasilkan keputusan yang positif.
"Dari aspek fizikal, saya berpuas hati dengan diri saya, jadi kita tunggu dan lihat. Sasaran utama saya tahun ini adalah sekurang-kurangnya berada dalam kelompok 150 dunia," kata Jun Hao yang ketika ini menghuni ranking ke-319 dunia.
Dia akan membuka tirai saingan menentang pemain Taiwan, Chi Yu Jen di pusingan pertama dan dijangka berdepan Igarashi jika layak ke pusingan seterusnya.
"Ini mungkin kejohanan terakhir saya tahun ini, jadi saya tidak boleh komen panjang sama ada saya boleh capai sasaran saya atau tidak, namun saya harap mampu melakukannya," katanya.
Turut beraksi ialah Lee Zii Jia yang diletakkan sebagai pilihan kedua kejohanan dan akan bertemu pemain Jepun, Yusuke Onodera di pusingan pertama.
Pemain lain daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang turut bersaing ialah Soo Teck Zhi, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Cheam June Wei, Soong Joo Ven, Chong Yee Han dan Tan Jia Wei.
Dalam acara perseorangan wanita, Malaysia meletakkan sandaran kepada pemain seperti Ho Yen Mei, S Kisona dan M Thinaah.
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
0 Comments