KUALA LUMPUR: Setiap alumni harus memiliki sikap 'sirih pulang ke gagang' dengan turun padang ke universiti tempat mereka pernah belajar untuk menyumbang pengalaman dan melaksanakan tanggungjawab sosial.
Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, bertitah walaupun sudah bergelar siswazah, alumni perlu membantu kelangsungan kecemerlangan universiti, sama ada secara modal insan atau material.
"Usaha dan peranan alumni dalam membantu memperkasakan universiti tidak dinafikan, malah mereka akan menjadi 'role model' kepada pelajar yang masih dalam pengajian.
"Kedatangan alumni ini ke universiti dapat menggalakkan dan mengaktifkan lagi aktiviti universiti serta pelajar," titahnya.
Baginda yang juga Canselor UTM, bertitah demikian pada Majlis Santapan Diraja Makan Malam Gala 2017 di Dewan Residensi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini, malam tadi.
Majlis dianjurkan UTM itu bertujuan mengumpul sumbangan kewangan bagi membantu meringankan beban kos pengajian pelajarnya yang kurang berkemampuan.
Sempena majlis itu, UTM berjaya mengumpul sumbangan kewangan berjumlah RM1.5 juta.
Raja Zarith Sofiah bertitah, sumbangan diperoleh daripada badan korporat, organisasi swasta, individu, selain persatuan, alumni dan staf universiti itu mampu membantu menjalankan aktiviti akademik dan pelajar.
"Hubungan akrab yang terjalin antara universiti dan industri perlu dilihat secara positif serta dimanfaatkan demi kebaikan bersama," titahnya.
Pada majlis sama, Raja Zarith berkenan menerima replika cek yang disampaikan individu dan wakil setiap penyumbang.
Yang turut hadir, Pro Canselor UTM, Tan Sri Salleh Mohd Nor, Tan Sri Dr Lin See Yan dan Tan Sri Dr Siti Sa'adiah Sheikh Bakir.
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
0 Comments