Bahrain tuduh Iran dalang letupan paip minyak

KHOBAR: Bahrain menyifatkan letupan yang menyebabkan kebakaran di saluran paip minyak utamanya kelmarin disebabkan 'sabotaj pengganas'.

Ia turut mengaitkan serangan itu dengan musuh utamanya, Iran, yang menafikan sebarang pembabitan dalam ketegangan di negara Teluk itu.

Sekutu utama Barat dan hos kepada Armada Kelima Amerika Syarikat, Bahrain yang berfahaman Sunnah digegarkan dengan bantahan dan keganasan sejak beberapa tahun lalu yang dilakukan majoriti penduduk Syiah negara berkenaan.

"Kejadian itu adalah tindakan sabotaj dan keganasan bertujuan menjejaskan kepentingan negara dan keselamatan rakyat.

"Tindakan ganas disaksikan negara ini sejak kebelakangan ini dilakukan menerusi hubungan langsung dan arahan dari Iran," menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri memetik menterinya, Sheikh Rashin bin Abdullah al-Khalifa sebagai berkata.

Pihak berkuasa Bahrain berkata, mereka berjaya mengawal kebakaran di saluran paip itu.

Penduduk yang tinggal berhampiran lokasi berdekatan kampung Buri, kira-kira 10 kilometer dari ibu kota, Manama, dipindahkan ke pusat perlindungan, menurut kenyataan.

Kementerian Tenaga Arab Saudi berkata, proses mengepam minyak ke Bahrain digantung dan negara itu meningkatkan kawalan keselamatan di kemudahannya. - Reuters



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

0 Comments