London: Roger Federer memulakan misi menutup tahun gemilangnya untuk menjulang gelaran ketujuh Jelajah Akhir ATP dengan langkah kanan apabila bintang Switzerland itu menewaskan Jack Sock 6-4, 7-6 (7/4) sebentar tadi.
Empat bulan selepas menjuarai Wimbledon untuk kali kelapan, Federer kembali ke London untuk melengkapkan musim cemerlangnya dengan gelaran di O2 Arena.
Sewaktu Federer terlepas aksi Jelajah Akhir susulan kecederaan, peluangnya untuk kembali ke era gemilangnya dilihat turut kabur.
Dia melangkah ke musim 2017, terlepas aksi hampir separuh musim berikutan isu kecederaan dan gagal meraih sebarang Grand Slam sejak 2012.
Namun pemain berusia 36 tahun itu menikmati kebangkitan menakjubkan dengan menjuarai Terbuka Australia dan Wimbledon di antara tujuh gelaran yang dikecapinya, lebih daripada mana-mana pemain lelaki dalam tempoh 11 bulan.
Federer bagaimanapun masih belum mengecapi kejayaan di Jelajah Akhir sejak 2011.
Namun selepas menewaskan Sock pada aksi pembukaan, pemain nombor dua dunia itu kini menang 11 perlawanan terakhirnya.
Prestasi cemerlangnya itu membolehkannya menjulang kejuaraan di Shanghai dan Basel dan dia berharap dapat mengekalkannya dengan menjuarai Jelajah Akhir hujung minggu hadapan.
"Seronok dapat kembali terutama apabila terlepas kejohanan musim lalu akibat kecederaan," kata Federer.
"Saya bermula dengan baik tetapi set kedua tampak sengit." -AFP
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
0 Comments