Gajah pernah muncul dalam filem Ong Bak bunuh penjaga sendiri

Foto Rohani Alam Shah.

BANGKOK: Gajah yang membintangi beberapa filem dan iklan menghempap penjaganya sehingga mati di Thailand, membangkitkan perdebatan baharu mengenai industri pelancongan membabitkan haiwan, kata pegawai zoo, hari ini.

Kejadian malang itu berlaku pagi semalam di utara bandar Chiang Mai, selepas pemilik haiwan berkenaan, Somsak Riengngen membuka ikatan gajah seberat lima tan dikenali sebagai Ekasit itu.

Tanpa penyelia dan penunggang di belakangnya, Ekasit maju beberapa tapak sebelum menyerang Somsak, 54, yang berada berhampiran.

“Gajah itu tiba-tiba berpusing dan menggunakan belalainya mengasak Somsak,” kata pengarah aksi Zoo Chiang Mai, Wuthichai Muangman kepada AFP.

Wuthichai yang menyifatkan Somsak sebagai ‘pakar gajah’, gajah berusia 32 tahun itu berada dalam keadaan agresif disebabkan mahu mengawan ketika kemalangan itu berlaku.

Seorang pegawai zoo berkata, Ekasit pernah muncul dalam beberapa filem tempatan dan luar negara selain membintangi iklan televisyen, ditempatkan sementara di zoo berkenaan sehingga kontrak tamat pada April depan.

[​IMG]
Thailand terkenal dengan eksploitasi gajah untuk pelancongan yang menyaksikan haiwan itu membuat persembahan sarkis, untuk tunggangan, selain disewa bagi pelbagai bentuk hiburan.

Laporan dikeluarkan Perlindungan Haiwan Dunia pada Julai lalu mendapati gajah di Thailand dipaksa bekerja lebih dua kali ganda berbanding negara lain di Asia, meskipun fizikal haiwan berkenaan tidak berada dalam keadaan baik.

Daripada keseluruhan 2,923 gajah direkodkan bekerja untuk industri pelancongan di Asia, sejumlah 2,198 daripadanya dari Thailand.

Kumpulan kempen hak asasi haiwan dikenali sebagai PETA menganggap kematian penjaga haiwan berkenaan sebagai tragedi namun, memberi gambaran keganasan boleh berlaku sekiranya haiwan seperti itu terus dikurung.

Comments

comments



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

0 Comments