Kuat ‘gigit’ tapi popular, Nazri pertahan lantik Suarez

Foto Rohani Alam Shah.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Nazri Aziz hari ini mempertahankan keputusan melantik bintang bola sepak FC Barcelona, Luis Suarez sebagai duta pelancongan Malaysia.

Menteri pelancongan dan kebudayaan itu berkata walaupun Suarez dikaitkan dengan masalah disiplin seperti menggigit pemain lawan, beliau tetap mempunyai ramai peminat.

Menurutnya, masalah disiplin Suarez tiada kaitan dalam usaha mempromosikan sektor pelancongan negara.

“Jangan kita hukum orang semata kerana apa yang telah berlaku di masa lepas. Apa yang berlaku itu dalam keadaan dia bermain bola.

“Kalau dia ini jahat sangat, takkanlah pengikut Instagram dia 25 juta. Statistik menunjukkan dia memang seorang pemain yang popular,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Hee Loy Sian (PKR-Petaling Jaya Selatan) yang meminta menjelaskan pelantikan dan bayaran nilai kontrak Suarez sebagai duta pelancongan Malaysia.

Nazri berkata Tourism Malaysia mendapat hak eksklusif menggunakan penyerang kelab FC Barcelona itu bagi mempromosikan pelancongan Malaysia.

Menurutnya, Suarez amat popular di kalangan peminat bola sepak di rantau Asia khususnya Indonesia dan China.

Suarez, 30, pemain kelahiran Uruguay, mempunyai pengikut seramai 25.3 juta di Instagram, 18.9 juta di Facebook dan 12.4 juta di Twitter.

“Melalui kempen pengiklanan ini, Tourism Malaysia boleh menggunakan bintang bola sepak itu bagi mempromosikan destinasi pelancongan menarik di Malaysia khusus kepada bintang dan peminat bola sepak dari seluruh dunia melalui media sosial beliau,” kata Nazri.

Menurutnya, kempen pengiklanan Tourism Malaysia akan dipaparkan di 90 skrin LED di 18 buah stadium melibatkan perlawanan La Liga musim 2017/2018.

Nazri berkata, iklan juga dipaparkan di 30 skrin digital di China, Hong Kong, Taiwan, Macau dan negara Asia lain melibatkan pasukan Real Madrid dan FC Barcelona.

Kempen pengiklanan ini melibatkan perbelanjaan sebanyak RM7.5 juta, kata Nazri.

“RM3.1 juta adalah kos pembikinan 4 video berdurasi 60 saat bagi Luis Suarez mempromosikan destinasi pelancongan, budaya, makanan dan sukan tradisional Malaysia melalui akaun sosial beliau dan Tourism Malaysia.

“Dan negara ini akan menjadi destinasi percutian beliau tahun hadapan selepas tamat Piala Dunia.”

Comments

comments



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

0 Comments