KUALA LUMPUR: LBS Bina Group Bhd (LBS) mendapat kelulusan daripada Biro Pembangunan dan Pembaharuan Daerah Gaoxin, China bagi projek terbaharunya bernilai keseluruhan AS$526 juta.
LBS berkata, projek itu adalah berkaitan Memorandum Persefahaman mengenai cadangan pelan menaik taraf dan transformasi Zhuhai International Circuit Ltd, yang diumumkan pada 21 September 2015.
Pembangunan itu membabitkan kawasan seluas 106.84 hektar yang ketika ini digunakan sebagai litar lumba, sudah diluluskan untuk penggunaan tambahan seperti dicadangkan mengikut pelan transformasi itu.
"Berdasarkan kelulusan itu, kawasan berkenaan dibahagikan kepada dua plot - bahagian timur dan bahagian barat - dengan keluasan 862,395.38 meter persegi telah diluluskan untuk pembangunan seterusnya," menurut LBS dalam satu kenyataan.
LBS berkata, biro itu juga meluluskan pembinaan Pusat Kebudayaan China-Malaysia, kemudahan litar lumba (termasuk pusat servis kereta lumba, dewan pameran, pusat penyelidikan dan pembangunan, kios bahan api, pusat kecemasan), taman tema, kawasan komersial dan menara lawatan pelancong di plot kawasan barat.
Kelulusan juga diperoleh bagi pembangunan tambahan terdiri Perkampungan Budaya Malaysia, Muzium Budaya China-Malaysia, Dewan Budaya Cheng Ho, bangunan ekonomi dan perdagangan Malaysia, kawasan perniagaan bertema, blok hotel bertema, pusat beli-belah dan kemudahan harian di bahagian timur.
Syarikat itu perlu mendapat kelulusan berkaitan daripada pihak berkuasa tempatan selewat-lewatnya pada November 2019 bagi bahagian barat, dan November 2020 bagi sebelah timur, sebelum kerja-kerja pembinaan bermula. - BERNAMA
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
0 Comments