KUALA TERENGGANU: Mangsa banjir di negeri ini meningkat mendadak kepada 542 orang daripada 143 keluarga setakat jam 12 tengah malam ini berbanding hanya 31 mangsa daripada lapan keluarga petang semalam.
Justeru, sebanyak 25 pusat pemindahan sementara (PPS) diaktifkan di empat daerah iaitu di Besut, Hulu Terengganu, Dungun dan Setiu.
Berdasarkan laporan info banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Hulu Terengganu mencatat jumlah mangsa tertinggi iaitu 245 orang daripada 65 keluarga di 15 PPS manakala di Setiu, 151 orang daripada 32 keluarga yang ditempatkan di lima PPS.
Selain itu, seramai 110 mangsa daripada 36 keluarga ditempatkan di empat PPS di Dungun manakala 36 mangsa daripada 10 keluarga masih ditempatkan di PPS di Sekolah Kebangsaan Kuala Besut 2.
Keadaan cuaca di sebahagian besar negeri ini masih dilanda hujan lebat.
Sementara itu, dua sungai utama di Terengganu iaitu Sungai Nerus dan Sungai Chalok, Setiu mencatat bacaan pada paras bahaya manakala empat lagi sungai di daerah Hulu Terengganu, Marang dan Besut berada pada paras amaran.
Berdasarkan kemas kini di laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my, paras air di Sungai Nerus dekat Kampung Langkap, Setiu sudah melepasi paras bahaya iaitu 21.50 meter.
Selain itu, paras air Sungai Chalok di Jambatan Chalok, Setiu juga sudah melepasi paras bahaya apabila mencatatkan bacaan 8.78 meter iaitu peningkatan sebanyak 0.38 meter.
Tiga lagi sungai yang kini dilaporkan menunjukkan trend peningkatan hingga kepada paras amaran adalah Sungai Marang di Jambatan Pengkalan Berangan, Marang (2.33 meter); Sungai Besut di Kampung La, Besut (20.83 meter); Sungai Besut di Jambatan Keruak, Besut (34.29 meter) dan Sungai Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu (19.99 meter).
Keadaan ini dijangka berterusan berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu selain hujan lebat melanda secara kerap di kawasan terbabit sejak kelmarin.
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
0 Comments