IPOH – Seorang wanita maut setelah kereta dipandunya terperosok dirempuh lori muatan palet makanan ayam dalam kemalangan di Jalan Jelapang di sini hari ini.
Nahas tersebut mengorbankan Noor Aishah Mohd. Tahir, 26, yang maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Difahamkan, kemalangan berlaku ketika lori 24 tan itu dalam perjalanan dari Jalan Ipoh-Lumut ke arah Meru sebelum merempuh kereta jenis Proton Persona dipandu mangsa dari arah Meru ke Batu Gajah.
Pemandu lori berkenaan dipercayai telah melarikan diri dan usaha mengesan sedang dijalankan.
Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Nor Rasidamayati Abd. Rasid berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya dihantar ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada pukul 10.28 pagi.
Katanya, setibanya di lokasi, didapati kejadian melibatkan dua kenderaan di mana sebuah kereta remuk dan berada di bahagian bawah lori berkenaan.
“Anggota telah mengambil tindakan awal dengan membuat pembersihan tumpahan minyak dan memotong punca elektrik di kawasan itu bagi memastikan operasi menyelamat dijalankan dalam keadaan selamat.
“Pada awalnya, kita menghadapi kesukaran untuk mengeluarkan mangsa ekoran muatan lori berkenaan namun mangsa berjaya dikeluarkan selepas kenderaan itu dialihkan dengan bantuan kren,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurut beliau, mangsa disahkan maut di lokasi kejadian oleh petugas perubatan dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – UTUSAN ONLINE
The post ‘Tragis pemergianmu Aisyah’ – Wanita maut kereta dirempuh lori first appeared on Wowberita.via Wowberita
0 Comments