KUANTAN: Kelestarian alam sekitar menjadi satu daripada empat teras utama Draf Rancangan Struktur Negeri Pahang 2050, sekali gus mampu menjadikan negeri itu berdaya maju menjelang 2050.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail, berkata tiga teras lain ialah ekonomi berdaya maju, pembangunan seimbang dan kesejahteraan sosial.
"Keempat-empat teras berkenaan disokong dengan 34 dasar perancangan, 101 strategi dan 374 inisiatif pelaksanaan yang mampu membentuk matlamat negeri ini ke arah kecemerlangan menjelang 2050," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Struktur Negeri Pahang 2050 di Gambang, di sini, hari ini.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Muhammad Safian bagi mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob.
Yang turut hadir, Ketua Pengarah PLANMalaysia, Rokibah Abdul Latif dan Pengarah PLANMalaysia negeri, Norasiah Bee Mohd Haniff.
Beliau berkata, program itu juga memberi peluang kepada pihak awam dan swasta untuk membabitkan diri menyumbang idea dan maklum balas.
"Publisiti ini sudah dilaksanakan sejak 16 Disember lalu dan akan berakhir Jumaat ini. Justeru orang ramai boleh mengambil peluang yang ada ini untuk memberi cadangan dan maklum balas.
"Sehingga kini, sebanyak tujuh bantahan kita sudah terima dan ia akan dikumpulkan, disemak seterusnya akan dibincangkan di dalam Jawatankuasa Khas Pendengaran," katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap penggubalan dasar perancangan yang komprehensif ini akan dapat membantu kerajaan negeri membangunkan Pahang secara tuntas, berdaya maju dan lestari menjelang 2050.
"Kita sedia maklum Pahang adalah negeri terbesar di Semenanjung dengan keluasan kira-kira 3.6 juta hektar dan kaya dengan sumber semula jadi serta hasil bumi.
"Namun, semua ini perlu dirancang dan diuruskan secara bijak bagi memastikan ia terus menjadi aset dan sumber ekonomi utama negeri yang sangat bernilai pada masa akan datang," katanya.
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
0 Comments