MIRI: Angkatan Pertahanan Awam (APM) sudah bersedia menghadapi situasi cuaca buruk yang diramal melanda bandaraya Miri pada Sabtu dan Ahad ini.
Pegawai APM Daerah Miri, Kapten Mohd Hazle Shah Abdul Hamid, berkata selain APM, pelbagai agensi serta jabatan kerajaan di sini turut bersiap sedia jika ada mangsa memerlukan bantuan segera.
"Sebanyak 117 buah pusat pemindahan sudah dikenal pasti namun setakat ini belum ada yang dibuka," katanya selepas mesyuarat pengurusan bencana Miri dipengerusikan oleh Residen Bahagian Miri, Sherrina Hussaini di sini, petang Rabu.
Sementara itu, Sherrina berkata, Bilik Operasi Bencana Bahagian Miri sudah diaktifkan untuk menghadapi kemungkinan cuaca buruk seperti diramalkan oleh Jabatan Meteorologi.
"Saya juga meminta orang awam jangan cepat membuat andaian apabila gambar berkaitan dengan banjir viral di media sosial dan mendapatkan maklumat sahih," katanya.
Dengan memberi contoh kejadian di perkampungan nelayan Kampung Batu 1 di Kuala Baram semalam, Sherrina berkata, gambar perahu nelayan tersadai di tepi jalan Kuala Baram memberi persepsi negatif kerana ia seolah menggambarkan seluruh bandaraya Miri dilanda bencana.
"Ia bukan bencana kerana kejadian semalam di satu kawasan terpencil sahaja, berpunca air pasang besar dan hujan lebat, nelayan memang meletakkan perahu di tepi jalan untuk mengelakkan perahu hanyut ke tempat lain," katanya.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam satu kenyataan petang ini berkata, Jabatan Meteorologi meramalkan hujan lebat dan angin kencang di Miri dan Limbang pada 23 dan 24 Disember ini.
Bilik Gerakan Negeri boleh dihubungi di talian 082-443991/446991, nombor faks 082-442730 dan emel jpbn@sarawak.gov.my untuk mendapatkan atau memberi sebarang maklumat berkaitan banjir.
- BERNAMA
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
0 Comments