PUTRAJAYA: Orang ramai yang menyertai Himpunan Solidariti Selamatkan Baitulmaqdis esok diminta meletakkan kenderaan di kawasan yang ditetapkan dan menaiki bas ke Masjid Putra di sini.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan, berkata orang ramai boleh meletakkan kenderaan di tempat letak kereta Istana Kehakiman dan ruang terbuka di hadapan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Presint 3 serta Dataran Monumen Alaf Baru, Presint 2 bagi menaiki bas.
Selain itu katanya, orang ramai juga boleh meletakkan kenderaan di boulevard Kementerian Kewangan, Presint 2 yang terletak kira-kira 500 meter dari Masjid Putra.
"Jalan menuju ke Masjid Putra akan ditutup bermula 9 pagi, justeru orang ramai diminta menaiki bas bagi mengelakkan kesesakan jalan raya dan melancarkan pergerakan trafik.
"Sebanyak empat bas disediakan oleh Pengangkutan Awam Putrajaya Travel & Tours Sdn Bhd untuk mereka ke perhimpunan berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Rosly berkata, dua jalan utama menuju Masjid Putra yang akan ditutup sehingga tamat program esok adalah di Jambatan Putra dan Laman Perdana berhampiran Bangunan Perdana Putra.
"Orang ramai diminta mematuhi arahan anggota trafik yang bertugas dan meletakkan kenderaan seperti yang ditetapkan. Untuk maklumat lanjut, mereka boleh melayari laman Facebook Perbadanan Putrajaya (PPj)," katanya.
Himpunan Solidariti Selamatkan Baitulmuqaddis dijangka menarik kehadiran kira-kira 10,000 orang dari seluruh negara dan akan turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak serta timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beberapa wakil pertubuhan bukan kerajaan dan parti politik termasuk Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dijangka turut hadir.
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
0 Comments