PETALING JAYA: Ibu kepada murid Sekolah Kebangsaan Taman Semarak, Nilai berkata pihaknya akan memfailkan saman terhadap Azizan Manap, selepas tuduhan terhadap guru sekolah itu digugurkan semalam di sebalik sokongan ditunjukkan warga guru.
Ibu kepada Muhammad Zainul Danish Zaridin, yang hanya mahu dikenali sebagai Mas, 45 berkata keluarganya terkilan apabila mahkamah memutuskan untuk melepaskan guru itu, yang dituduh mencederakan anak bongsunya berumur 11 tahun.
Mas mendakwa mempunyai bukti anaknya mengalami kecederaan serius termasuk gambar dan laporan perubatan.
“Pipi anak saya merah manakala telinganya berdesing akibat ditampar. Pegawai perubatan yang merawatnya juga mencadangkan supaya membuat laporan polis kerana kecederaan itu,” katanya dipetik Utusan Malaysia.
Bagaimanapun, Sinar Harian memetik ayah murid itu sebagai menafikan sebarang rancangan mengambil tindakan mahkamah.
“Kami sudah terlalu tertekan dengan apa yang berlaku dan saya rasa tumpuan ketika ini adalah untuk pulih daripada trauma akibat tekanan yang kami hadapi.
“Jadi tindakan saman sivil bukan sebahagian daripada perkara yang kami akan ambil buat sekarang,” katanya.
Sebelum ini, Mahkamah Majistret Seremban menggugurkan tuduhan di bawah Kanun Keseksaan terhadap Azizan, tanpa membebaskannya.
Azizan berkata beliau sudah “memaafkan” murid berkenaan dan keluarganya.
Pihak sekolah mendakwa murid itu terlibat dalam pelanggaran disiplin, termasuk menghidu gam dan membuli.
Bagaimanapun, Mas mendakwa keluarganya tidak pernah dimaklumkan mengenai masalah disiplin itu.
“Kami hanya tahu anak kami dikatakan ada masalah disiplin selepas kejadian dia ditampar oleh cikgu berkenaan. Itu pun selepas kami bertanya mengapa tampar anak kami sampai begitu sekali,” katanya.
Azizan didakwa melakukan kesalahan itu pada 6 April lalu. Dia dituduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan pada pipi kiri Zainul.
Jika sabit kesalahan, beliau boleh dipenjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-dua sekali.
Comments
comments
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
0 Comments