KUALA LUMPUR: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal mesti menilai semula ciri-ciri miskin bandar kerana kos sara hidup sudah berubah.
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata ada dua kriteria miskin, iaitu yang boleh dinilai berdasarkan pendapatan isi rumah dan satu lagi faktor lain seperti bebanan yang tidak boleh dinilai mengikut pendapatan isi rumah.
Sebagai contoh, katanya, isi pendapatan rumah sebanyak RM3,000 hingga RM4,000 jika menetap di luar bandar sudah cukup selesa, sebaliknya nilai yang sama bagi sesetengah golongan yang menetap di bandar masih tidak mencukupi.
"Cadangan ini perlu diteliti JKM dan Baitulmal dengan mengambil kira kesusahan rakyat yang menetap di bandar, supaya kerajaan boleh membantu setiap rakyat yang merasa diri mereka terbeban.
"Saya ada menerima beberapa kes ibu bapa yang tidak diklasifikasi sebagai miskin, tetapi tidak mampu menghantar anak ke sekolah kerana faktor lain.
"Kes sebegini kita minta Baitulmal bantu dengan memberi mereka bantuan bulanan agar anak-anak tidak keciciran sekolah," katanya.
Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata demikian selepas hadir ke program Jom ke Sekolah tajaan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Taman Maluri, di sini, hari ini.
Beliau menyampaikan kelengkapan sekolah seperti beg, pakaian seragam, dan wang tunai RM50 kepada 200 penerima dari Parlimen Titiwangsa
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Roslan Ab Rahman.
Sementara itu, ketika diminta mengulas keputusan pembatalan Sistem Pemantauan Manasik Bersepadu (IMAMS) sebagai pemantau lesen umrah, Johari berkata, semua pihak perlu mengambil pengajaran daripada kejadian itu.
"Dalam suasana ekonomi hari ini, rakyat sangat sensitif.
"Mungkin ada yang nampak nilai benda itu kecil. Contoh RM40 ke RM50, tetapi untuk orang awam nilainya sangat besar.
"Kita ambil pengajaran supaya pada masa depan kita lebih berhati-hati apabila membabitkan kos dan kepentingan rakyat," katanya.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyifatkan pengumuman pembatalan IMAMS sebagai pemantau lesen khas umrah amat bertepatan dan beliau sendiri tidak bersetuju sistem itu dilaksanakan bagi urusan umrah.
Pembatalan IMAMS diumumkan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Rashidi Hasbullah berikutan maklum balas orang ramai dan pengendali pakej umrah berhubung sistem terbabit.
lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW
0 Comments