Tegur mat rempit, pemandu ambulans dibelasah

TANPA disangka, teguran yang diberi kepada sekumpulan mat rempit mendatangkan musibah ke atas seorang pemandu ambulans apabila dipukul remaja terbabit dalam kejadian pada malam Ahad.

Insiden pukul 1.40 pagi berhampiran Plaza Tol Taiping Utara, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) mengakibatkan mangsa berusia 53 tahun turut menerima empat jahitan di kening kanan, manakala seorang jururawat wanita turut cedera akibat ditendang.

Mangsa yang tidak didedahkan identitinya itu berkata, ketika kejadian, dia bersama pembantu perubatan dan seorang jururawat dalam perjalanan dari Hospital Parit Buntar ke Hospital Taiping untuk menghantar seorang pesakit.

“Ketika tiba di persimpangan lampu isyarat berhampiran plaza tol, saya ternampak sekumpulan penunggang motosikal yang dipercayai sedang lumba haram.

“Saya bertindak menegur mereka dengan pembesar suara agar mereka memberi laluan. Namun ia menyebabkan kumpulan terbabit marah dan mula menghimpit ambulans dengan motosikal.

“Seorang daripada penunggang terbabit terjatuh dan kumpulan berkenaan kemudian menyekat kenderaan saya,” katanya.

Empat hingga enam remaja lelaki itu kemudian cuba menarik mangsa keluar dari ambulans dan menumbuk mukanya sehingga cedera, sebelum dibelasah bertubi-tubi.

Jururawat yang menjaga pesakit di belakang cuba membantu meleraikan kumpulan berkenaan, namun dia juga turut menjadi mangsa dan ditendang.

Sekumpulan remaja terbabit segera melarikan diri selepas mendapati orang ramai mula menyedari kejadian itu.

Mangsa yang cedera kemudian meneruskan perjalanan menghantar pesakit dan membuat laporan polis di Taiping sebelum pulang ke Parit Buntar untuk mendapatkan rawatan.

“Saya berjaya mengecam nombor pendaftaran motosikal salah seorang daripada remaja yang memukul saya, manakala motosikal lain tiada nombor pendaftaran.

“Difahamkan polis sudah mengenal pasti pemilik motosikal terbabit dan tindakan serta siasatan lanjut sedang dijalankan.”

Menurut mangsa lagi, lokasi kejadian itu sememangnya sering kali dijadikan litar lumba haram membabitkan motosikal dan kereta terutama pada malam minggu sekitar jam 12 tengah malam hingga 3 pagi.

Comments

comments



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

0 Comments