Tuah Zuhairi beralih bola sepak kepada berbasikal

KUALA TERENGGANU: "Saya tidak tahu dari mana pihak Majlis Sukan Negara (MSN) boleh nampak bakat saya dalam sukan berbasikal.

"Tapi saya melihat ia sebagai satu cabaran dalam sukan ini dan peluang untuk ubah hidup saya sebaik sahaja mendapat panggilan daripada MSN," kata Zuhairi Ahmad Tarmizi.

Anak jati Kampung Baru Muda, Marang itu berkata demikian kepada pemberita selepas menerima insentif dari Kerajaan Terengganu atas kejayaan merangkul pingat emas dalam acara berbasikal pada temasya Sukan Para ASEAN 2017 di ibu negara September lalu.

Beliau dan 131 atlet kelahiran Terengganu yang cemerlang dalam Sukan SEA dan Para ASEAN 2017 diraikan dalam satu majlis di sini, malam ini.

Turut berangkat ke majlis berkenaan, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman serta barisan Exco Kerajaan Negeri dan kepimpinan negeri.

Zuhairi, 27, sebelum ini adalah pemain bola sepak Terengganu bagi skuad Piala Presiden, namun terpaksa melupakan hasratnya dalam bidang itu selepas jari tangan kanannya putus dalam satu kemalangan pada tahun 2013.

Mengambil masa kira-kira setahun untuk pulih dari kecederaan itu beliau kemudiannya dihubungi pihak MSN bagi menjalani latihan untuk acara sukan berbasikal dan seterusnya mewakili negara pada temasya Sukan Para ASEAN 2017 lalu.

"Insentif berjumlah RM18,500 ini Insya-Allah saya akan bina sebuah rumah sebagai hadiah kepada keluarga, terutama isteri, Hanis Najihah Jusoh dan anggota keluarga yang tidak putus-putus memberi semangat kepada saya sepanjang saya berkecimpung dalam sukan ini.

"Saya sebenarnya tidak meletakkan sebarang sasaran ketika mula dipanggil menjalani latihan tetapi Alhamdulillah mungkin sudah suratan rezeki saya dalam sukan ini," katanya.

Anak didik Johari Nayan ini kini giat menjalani latihan di Nilai, Negeri Sembilan dan merancang untuk membina rumah tersebut sebaik sahaja tamat kejohanan di Rio De Janeiro, Brazil pada Mac depan.

"Terima kasih Kerajaan Terengganu yang memberikan insentif ini serta MSN yang berjaya mengesan bakat saya dan saya berjanji akan buat yang terbaik pada kejohanan-kejohanan yang disertai pada masa depan," katanya. - BERNAMA



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

0 Comments