Lebih 930 ditahan dalam rusuhan di Tunisia

TUNIS: Kerajaan Tunisia mengesahkan lebih 930 orang ditahan dalam rusuhan minggu lalu, berpunca daripada masalah pengangguran, rasuah dan langkah penjimatan yang dilaksanakan dalam Bajet 2018.

"Seramai 937 orang kini berada dalam tahanan akibat tindakan ganas, rompakan atau vandalisme," kata jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Khlifa Chibani kepada AFP.

Khlifa berkata, daripada jumlah itu, 41 tahanan berusia antara 13 hingga 19 tahun.

Pihak berkuasa mendakwa rusuhan selama seminggu itu menyebabkan 105 anggota pasukan keselamatan cedera, namun jumlah penunjuk perasaan yang cedera tidak didedahkan.

Malah, punca kematian seorang penunjuk perasaan pada Isnin lalu juga tidak diketahui dan keputusan bedah siasat yang dikeluarkan Khamis lalu tidak didedahkan kepada orang ramai.

Proses peralihan kuasa di negara di Afrika Utara itu berjalan lancar sejak 14 Januari 2011, yang menyaksikan kejatuhan Presiden Zine El Abidine Ben Ali, selepas berkuasa selama 23 tahun.

Bagaimanapun, ketegangan mula timbul berikutan kenaikan harga barang dan penunjuk perasaan melaungkan slogan 'Pekerjaan, Kebebasan, Maruah' yang popular pada 2011. - AFP



lagi info di : MALAYSIA TRENDING NOW

Post a Comment

0 Comments