Wanita rugi lebih RM100,000 ditipu Macau Scam

ALOR SETAR – Seorang wanita berusia 35 tahun kerugian RM106,500 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang mengatakan kononnya mangsa terbabit dengan aktiviti pengubahan wang haram dan dadah, 20 September lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, Superintendan Elias Omar, berkata sebelum itu, mangsa yang tinggal di Sungai Petani menerima panggilan telefon daripada seorang individu yang memperkenalkan diri sebagai pekerja Pejabat Pos Kuala Lumpur bernama ‘Encik Razali’.

“Suspek memaklumkan bahawa mangsa telah menghantar barang berupa kad pengenalan dan lapan kad pengeluaran bank (ATM) dari Alor Setar. Suspek juga memberitahu hasil semakan kad pengenalan itu didapati mangsa terbabit dengan jenayah pengubahan wang haram dan dadah.

“Mangsa kemudiannya telah disambungkan ke talian kononnya Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban sebelum diminta untuk menghubungi talian 999 untuk membuat laporan polis secara dalam talian kerana ia adalah kes berat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Elias berkata mangsa kemudiannya disambungkan kepada beberapa individu lain yang mengaku sebagai anggota polis dan diarahkan untuk ke IPD Seremban dalam tempoh dua jam dan sekiranya gagal, waran tangkap akan dikeluarkan.

“Mangsa kemudian disambungkan kepada seorang lagi individu iaitu seorang wanita bernama ‘Puan Maria’ yang memperkenalkan diri sebagai pegawai atasan IPD Seremban. Suspek mengarahkan mangsa untuk memindahkan wang ke dalam akaun yang diberikan supaya perlindungan insurans dapat dibuat.

“Mangsa yang bimbang memasukkan wang berjumlah RM106,500 pada 29 September dan 1 Oktober lalu ke dalam dua akaun bank CIMB. Mangsa telah menceritakan perkara itu kepada ahli keluarganya sebelum menyedari ditipu,” katanya.

Elias berkata mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Sungai Petani pada 1 Oktober dan kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Saya ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan sindiket ini serta jangan mudah menyerahkan maklumat peribadi secara dalam talian. Buat semakan dengan pihak polis sekiranya ada menerima sebarang panggilan telefon untuk pengesahan,” katanya. – BERNAMA

The post Wanita rugi lebih RM100,000 ditipu Macau Scam first appeared on Wowberita.



via Wowberita

Post a Comment

0 Comments