9 pelajar tajaan Yayasan Peneraju diiktiraf antara terbaik di dunia

KUALA LUMPUR: Sembilan pelajar tajaan Yayasan Peneraju mengungguli kedudukan 10 peratus terbaik dunia dalam peperiksaan Penganalisis Kewangan Bertauliah (CFA) dan Pengurus Risiko Kewangan (FRM).

Pencapaian ini menyusul selepas 29 pelajar program Perakaunan Profesional Yayasan Peneraju menduduki tempat pertama di dunia menerusi anugerah CAT / ACCA World Prize Winner baru-baru ini.

Yayasan Peneraju meraikan 19 pelajarnya yang telah menamatkan pengajian dalam CFA dan FRM pada tahun 2019 pada majlis penyampaian sijil yang diadakan sempena Persidangan Peneraju Profesional Kewangan, Perbankan dan Pelaburan (FBI).

Persidangan itu dirasmikan Timbalan Ketua Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Datuk Zainal Izlan Zainal Abidin.

Program CFA dan FRM yang diiktiraf di peringkat global ini dikenalpasti antara kerjaya yang mendapat permintaan tinggi terutama di sektor perkhidmatan kewangan dan pelaburan yang merupakan antara industri yang sedang pesat berkembang.

Pemangku Ketua Eksekutif, Yayasan Peneraju, Mohd Ariff Ithnin, berkata tahun ini yayasan menyasarkan untuk melahirkan 100 pemegang CFA dan 100 pemegang FRM bagi merapatkan jurang bilangan bakat tempatan yang menceburi kerjaya itu di Malaysia.

Setakat ini, Yayasan Peneraju telah melahirkan hampir 400 pemegang pensijilan profesional terbabit.

“Malaysia kini menuju ke arah negara maju, namun negara berdepan cabaran kekurangan bakat untuk menyumbang dalam ekonomi berpendapatan tinggi di mana ia menjadi pra-syarat untuk semua negara maju,” katanya.

Pada masa sekarang, Malaysia mempunyai 869 pemegang CFA dan 170 pemegang pensijilan FRM berdaftar berbanding Singapura yang mempunyai seramai 4,000 dan 850 pemegang kelayakan sama.

Bagaimanapun, Mohd Ariff berkata, penyertaan Bumiputera dalam kerjaya berimpak tinggi ini masih kecil di mana pemegang CFA dan FRM bertauliah Bumiputera di Malaysia masing-masing hanya mencatatkan seramai 115 dan 15 orang.



Sumber : 9 pelajar tajaan Yayasan Peneraju diiktiraf antara terbaik di dunia

Post a Comment

0 Comments