
AYER KEROH: Semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka diminta berhujah dan berbahas menggunakan fakta di dalam Dewan bagi mengelakkan tanggapan buruk terhadap kerajaan negeri.
Ketua Menteri, Adly Zahari, berkata terdapat segelintir ADUN berhujah tanpa mengemukakan fakta terutama membabitkan hubungan baik dengan negara luar yang boleh menimbulkan fitnah semata-mata.
“Contohnya, kenyataan ADUN Sungai Udang (Datuk Seri Idris Haron) bahawa isu itu (isu babi hutan) sehingga menimbulkan kemarahan Indonesia adalah tidak berasas dan tidak mempunyai fakta atau bukti.
“Kita (Melaka) membina hubungan baik dengan Kerajaan Indonesia, malah mereka tidak menimbulkan apa-apa isu. Tiada fakta yang menyokong hujahnya dan ia boleh menjadi fitnah,” katanya selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari kelima, di Seri Negeri, di sini, hari ini.
Adly yang juga ADUN Bukit Katil berkata, kerajaan negeri juga melakukan penyiasatan, penyelidikan dan pengesahan terhadap perkara itu dan bertanggung jawab dengan tindakan diambil.
Terdahulu Speaker DUN, Datuk Wira Omar Jaafar menjelaskan kenyataannya semalam berhubung ADUN Tangga Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee sebagai ‘Juara Tembak Babi’ bukan bermaksud menghina, tetapi merujuk kepada wira iaitu seorang yang hebat dalam menjalankan tugasnya.
Omar berkata, tiada unsur ‘protes’ daripada Kerajaan Indonesia berhubung isu babi hutan datang ke Melaka.
Idris mencelah dengan mendakwa beliau dimaklumkan pihak pertubuhan World Wide Fund for Nature (WWF) bahawa Pengerusi Jawatankuasa (EXCO) Melaka bertindak memburu babi tanpa mengambil kira pandangan pelbagai pihak terlebih dulu dan mendakwa ia kezaliman kepada binatang.
Sementara itu, Adly berkata, kerajaan negeri menghargai usaha dilakukan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) negeri yang menggandakan usaha dalam tempoh setahun berbanding 2017 bagi menangani isu babi hutan, sekali gus memastikan aktiviti pertanian diteruskan dan menjamin keselamatan rakyat.
Sumber : ADUN Melaka diminta berhujah dengan fakta, elak fitnah
0 Comments