Tukar sampah jadi duit

KUALA TERENGGANU: Program Eko Komuniti #TrashtoCash dapat menggalakkan orang ramai terutama komuniti setempat di sesuatu kawasan untuk menjaga kebersihan dengan mengitar semula sampah seterusnya dijadikan sebagai sumber pendapatan sampingan.

Penyelaras Program, Muhamad Shazlee Muhamad Nazlee, berkata menerusi program ini sampah yang dikutip dan boleh dikitar semula akan ditimbang dan seterusnya akan dibayar secara tunai kepada peserta.

Katanya, setiap kali program antara RM400 hingga RM500 diperuntukkan untuk dibayar kepada peserta.

“Melalui program Eko Komuniti yang diadakan di Selangor, sebanyak 560 kilogram berjaya dikumpulkan manakala program sama diadakan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Tebrau, Johor, sebanyak 156 kilogram berjaya dipungut peserta dan di Terengganu ini sekitar 250 kilogram sampah berjaya dikumpulkan dalam tempoh satu jam.

“Sampah kitar semula yang dikutip akan dibayar terus kepada peserta berdasarkan timbangan jenis barangan yang dikumpulkan,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis pelancaran program Eko Komuniti #TrashtoCash di PPR Padang Hiliran, di sini, hari ini.

Program itu adalah inisiatif baharu Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang diilhamkan di bawah pelaksanaan Dasar Komuniti Negara dan dikategorikan di bawah Kluster Kebersihan, Alam Sekitar dan Kesihatan dan Kluster Keusahawanan dan Perniagaan Sosial.

Program dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah.

Muhamad Shazlee berkata, pihaknya akan mewujudkan penggerak di setiap kawasan komuniti agar program ini dapat dijalankan secara berterusan dan seterusnya mengangkat agenda yang dibawa KPKT di peringkat komuniti.

“Sasaran kami selepas beberapa siri program ini dijalankan untuk mewujudkan ‘Waste Bank’ atau Bank Sampah di setiap kawasan agar program ini dapat dijalankan dengan lebih baik,” katanya.



Sumber : Tukar sampah jadi duit

Post a Comment

0 Comments