Penanam ketum disaran usaha tanaman lain

KUBANG PASU: Pengusaha tanaman ketum disaran menjana pendapatan melalui aktiviti yang tidak menyalahi undang-undang dengan menukar kepada tanaman lain sebelum pindaan Akta Racun 1952 dibahaskan di Parlimen.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata penanam ketum perlu ada inisiatif sendiri untuk bertukar kepada tanaman lain yang memiliki nilai komersial.

Tegasnya, beliau sudah mempengerusikan mesyuarat Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) negeri dan berbincang bersama Jabatan Pertanian negeri bagi mengenal pasti jenis tanaman gantian yang boleh diusahakan penanam ketum.

“Memang kita lihat hasilnya (tanaman komersial) mungkin tidak sebanyak apa yang boleh dapat dari tanaman ketum, tetapi sekurang-kurangnya tanaman lain itu dibuat secara halal dan tidak langgar apa-apa undang-undang.

“Kita tahu penanaman industri ketum itu masih bawah Akta Racun 1952 dan bukan bawah (akta) dadah, tetapi di bawah syarat pertanian, tanaman yang ditanam mestilah mempunyai nilai komersial seperti sawit, padi, getah dan tanaman lain,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Berkhatan Beramai-Ramai di Masjid Bani Hashim, Hosba, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mukhriz menjelaskan penanaman ketum sememangnya jelas melanggari peraturan yang ditetapkan.

Kelmarin, Ketua Pengarah AADK, Datuk Seri Zulkifli Abdullah, melawat ladang ketum di Kampung Permatang Bonglai, Ayer Hitam, selain bertemu dengan 52 pengusaha ketum meliputi Kedah dan Perlis yang berminat untuk menggantikan penanaman ketum dengan tanaman atau perusahaan lain.

Berdasarkan rekod AADK, sebanyak 138 hektar tanah di seluruh negara dikesan dijadikan ladang ketum dengan 104 hektar dikesan di Perlis dan Kedah, membabitkan 124 pengusaha ladang ketum dan 163 penjual.



Sumber : Penanam ketum disaran usaha tanaman lain

Post a Comment

0 Comments