Program 'Beyond Borders' MAHB diberi nafas baharu

PUTRAJAYA: Program ‘Beyond Borders’ anjuran Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) akan diberi nafas baharu bermula tahun depan dengan format pelaksanaannya memberi lebih tumpuan kepada mempromosikan kepentingan kemahiran berfikir secara inovatif.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Raja Azmi Raja Nazuddin, berkata inisiatif itu bagi menyokong aspirasi negara dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan melahirkan masyarakat yang berfikir jauh ke hadapan.

“’Beyond Borders’ adalah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) MAHB di bawah teras Pendidikan dan Kepemimpinan Muda yang dibentuk bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar serta guru selain menyediakan suasana pembelajaran menyeronokkan yang boleh menarik minat mereka.

“Dimulakan sejak 2007, ia kini sudah memanfaatkan kira-kira 30,000 pelajar dan guru di 32 sekolah angkat MAHB.

“Menerusi format baharu nanti, sasaran kami adalah membentuk generasi muda yang bukan saja cemerlang dalam akademik tetapi inovatif daripada pelbagai aspek ke arah melahirkan modal insan berbakat pada masa depan.

“Pelancaran format baharu dan pengumuman perinciannya akan dilakukan tahun depan. Program dua tahun itu antara lain merangkumi modul reka bentuk pemikiran supaya pelajar berpotensi menjadi pemangkin inovasi pada masa akan datang,” katanya.

Ketua Pegawai Operasi MAHB, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh bersama Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pendidikan, Mohd Jamil Mohamad bergambar dengan juara pertandingan drama (Act It Up) dari SJKT Dengkil pada Program 'Beyond Borders' anjuran Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) pada majlis Graduasi dan Anugerah Fasa IV Beyond Borders (2017-2019) di Hotel Sama-Sama KLIA. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Beliau berkata demikian pada majlis Graduasi dan Anugerah Fasa IV Beyond Borders (2017-2019) di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pegawai Operasi MAHB, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh. Turut hadir, Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pendidikan, Mohd Jamil Mohamad.

Anugerah ‘Beyond Borders’ yang diadakan hari ini adalah sempena tamatnya Fasa IV program berkenaan di empat sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Dengkil; Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Dengkil; Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Wah Lian dan SK Bukit Bangkong (A).

Pelajar dari empat sekolah berkenaan mempamerkan bakat dalam penguasaan bahasa Inggeris menerusi pelbagai pertandingan termasuk pertandingan drama (Act It Up), bercerita (Tell a Story) dan penulisan esei (Golden Pen Award).

Pada pertandingan itu, SJKT Dengkil dinobatkan juara pertandingan drama (Act It Up), sekali gus membawa pulang wang tunai RM2,000.



Sumber : Program 'Beyond Borders' MAHB diberi nafas baharu

Post a Comment

0 Comments