Azmeer buat kejutan tinggalkan pasukan Kedah

ALOR SETAR: Tonggak pertahanan Kedah, Azmeer Yusof melakukan kejutan sebentar tadi apabila mengumumkan pengunduran daripada mewakili skuad Lang Merah musim ini atas faktor ingin memberi tumpuan kepada perniagaan.

Pengumuman pemain berusia 30 tahun itu melalui akaun Instagram miliknya kira-kira jam 8 malam tadi, sekali gus menjawab persoalan mengenai laporan seorang pemain utama Kedah memberi bayangan akan menamatkan kontraknya dua minggu lalu.

"Assalamualaikum..Dengan ini saya mengumumkan pengunduran saya dari pasukan Kedah, dan keputusan ini bukanlah kerana masalah gaji, tetapi kerana saya ingin menumpukan sepenuh perhatian kepada bidang perniagaan saya.

"Saya doakan yang terbaik buat pasukan Kedah dan semoga pasukan ini terus mencipta kejayaan di masa akan datang.

"Ampun maaf dipinta kepada semua pihak seandainya kehadiran saya ke bumi Jelapang Padi tidak dialu-alukan. Sesungguhnya yang baik itu datang dari Allah Taala, yang buruk datang dari diri saya sendiri. " katanya

Azmeer yang mewakili Kedah pada dua musim iaitu 2016 dan 2019 juga mengharapkan penyokong Kedah agar tidak kecewa dengan tindakan yang diambilnya.

"Kepada semua penyokong bola sepak Kedah FA, teruskan memberi sokongan kepada pasukan Kedah kerana tanpa kalian, bola sepak tiada ertinya. Maafkan saya, saya akan sentiasa rindukan sorakan kalian.

"Saya bukan bekas pemain Kedah dan saya bukan 'legend' anda, tapi saya adalah sahabat kalian dan doakan segala urusan saya untuk membina Pusat Pengajian Islam Azmeer Yusof di Alor Setar tercapai dengan izin Allah."

"Maafkan saya dgn keputusan ini. Pulun Kedah Pulun!" katanya.



Sumber : Azmeer buat kejutan tinggalkan pasukan Kedah

Post a Comment

0 Comments