WASHINGTON: Doktor peribadi Donald Trump menafikan laporan, Presiden Amerika Syarikat (AS) itu mengalami sakit dada susulan pemeriksaan perubatan mengejut di sini baru-baru ini.
Trump, 73, memperuntukkan masa sejam Sabtu lalu menjalani pemeriksaan, ujian makmal dan rundingan di Pusat Perubatan Tentera Walter Reed di sini, kata Dr Sean Conley dalam kenyataan dikeluarkan Rumah Putih.
“Di sebalik beberapa spekulasi, presiden tidak mengalami apa-apa sakit dada, atau beliau diperiksa atau dirawat untuk sebarang isu penting atau teruk.
“Secara khusus, beliau tidak menjalani sebarang penilaian tertentu berkaitan jantung atau saraf,” katanya.
Beberapa laporan menyatakan pemeriksaan itu tidak dijadualkan dan bukan disebabkan rasa sakit dada dialami Trump.
“Disebabkan jadual yang tidak tentu, pemeriksaan kali ini tidak diumumkan,” kata Dr Conley dalam kenyataan menyifatkan ia pemeriksaan rutin dan berjadual serta menyertakan maklumat keputusan kolesterol pemimpin itu.
Pada pemeriksaan rutin terakhir Trump Februari lalu, Dr Conley mengesahkan Presiden AS itu amat sihat.
Trump, yang membingungkan pakar kesihatan dengan minatnya terhadap makanan ringan dan mengelak bersenam, memiliki berat badan 110 kilogram ketika itu. — AFP
Sumber : Doktor sangkal laporan Trump alami 'sakit dada'
0 Comments