KEPALA BATAS: Dua pelajar sekolah, termasuk seorang lelaki sanggup membahayakan diri mereka untuk melakukan kegiatan pecah kedai dengan mencabut fius utama elektrik sebelum melarikan wang tunai dan pelbagai rokok berjenama.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata polis menerima laporan daripada pemilik kedai berusia 50 tahun yang memaklumkan premisnya di Taman Sri Serdang, di sini dipecah masuk kelmarin.
“Pemilik kedai terkejut selepas melihat kunci mangga premisnya dirosakkan, manakala fius utama elektrik hilang.
“Dia segera memeriksa di dalam kedainya dan mendapati sejumlah wang tunai dan rokok pelbagai jenama di dalam premisnya di larikan suspek yang mana jumlah kerugian dianggarkan berjumlah RM2,700,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Noorzainy berkata, bertindak melalui laporan yang dibuat mangsa, polis melakukan usaha mengesan suspek dan berjaya menahan tiga lelaki berusia dalam lingkungan 13 hingga 21 tahun yang dipercayai terbabit dalam kes berkenaan, dalam serbuan di sebuah rumah kira-kira jam 5 petang semalam.
“Hasil soal siasat awal, mereka bertiga mengaku terbabit dengan kes pecah kedai selain terbabit dengan kes pecah kantin sekolah di daerah ini, termasuk kes curi motosikal.
“Dua daripada tiga suspek masih lagi bersekolah dan ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap ketiga-tiga suspek mendapati mereka negatif dadah.
“Bagaimanapun, salah seorang yang ditahan mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan kes dadah,” katanya.
Beliau berkata, dalam serbuan itu polis merampas pelbagai barangan antaranya satu unit pemotong besi, dua motosikal, topi keledar dan fius elektrik milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang dilarikan suspek.
Mereka kini ditahan reman untuk siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Sumber : Sanggup cabut fius elektrik nak ceroboh kedai
0 Comments