Hakim perlu aktif hasilkan tulisan ilmiah - Tengku Maimun

PUTRAJAYA: Hakim di negara ini digalakkan menghasilkan penulisan ilmiah dan akademik, bagi mengembangkan prinsip undang-undang di negara ini.

Ketua Hakim Negara, Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat, berkata dalam konteks penghakiman, keadilan bukan hanya berkaitan keputusan yang dibuat oleh seseorang hakim, tetapi bagaimana sebenarnya keputusan itu dicapai.

“Ada yang mungkin mengatakan bahawa alasan penghakiman kita lebih penting dari keputusan itu sendiri, dalam hal ini adalah penting bagi kita sebagai hakim untuk sentiasa berusaha menulis alasan penghakiman kita.

“Ini terutama dalam keadaan hakim tidak boleh memberi respon secara terbuka terhadap kritikan, komen buruk atau tuduhan tidak berasas dan kita sebagai hakim hanya boleh memberi respon secara murni melalui penghakiman kita.

“Tetapi sekarang saya menyedari bahawa tidak semestinya melalui kajian subjek tetapi ia mungkin boleh dizahirkan melalui penulisan ilmiah dan akademik,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Journal Of The Malaysian Judiciary July 2019 dan The Malaysian Judiciary Year Book 2018.

Yang turut hadir Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Rohana Yusuf yang dilantik oleh Ketua Hakim Negara untuk menjalankan kuasa dan tugas Presiden Mahkamah Rayuan bermula 25 Disember lalu sehingga jawatan itu diisi.

Tengku Maimun berkata, Journal Of The Malaysian Judiciary July 2019 adalah kompilasi pelbagai penulisan ilmiah membabitkan pelbagai bidang undang-undang.

“Melalui penulisan ini, kami melihat sisi yang lebih ringan daripada hakim kerana mereka meluahkan pandangan mereka tanpa terikat kepada keadilan mana-mana kes yang diberikan.

“Di sebalik kesibukan dengan tugas sebagai hakim, saya tahu tidak mudah untuk mereka yang terbabit melakukannya, tetapi anda sudah melakukannya dengan sangat baik,” katanya.



Sumber : Hakim perlu aktif hasilkan tulisan ilmiah - Tengku Maimun

Post a Comment

0 Comments