Kebakaran belukar, lebih 100 sekolah ditutup di Australia

SYDNEY: Lebih 100 sekolah di tenggara Australia ditutup hari ini dan pihak berkuasa memberi amaran kepada penduduk di zon berisiko tinggi supaya bersiap sedia berpindah ketika ramalan suhu tinggi tidak mustahil menyebabkan kebakaran baharu.

Australia bergelut menangani kebakaran belukar di beberapa kawasan selama beberapa hari, membayakan ribuan penduduk di banyak tempat. Kebakaran setakat bulan ini meragut sekurang-kurangnya empat nyawa, memusnahkan sejuta hektar kawasan pertanian dan belukar serta lebih 300 rumah.

Sukarelawan dan anggota bomba New South Wales melindungi Sekolah Awam Colo Height daripada dilanda kebakaran Gospers Mountain berhampiran Colo Heights di barat daya Sydney, semalam. -Foto EPA

Hari ini, perhatian terarah dari kawasan pantai timur ke negeri Selatan Australia di mana pihak berkuasa menukar amaran bahaya kebakaran kepada ‘malapetaka’, dengan suhu dijangka mencecah 42 darjah Celsius dan angin kencang juga diramalkan.

Amaran malapetaka bermaksud jika kebakaran berlaku, agak mustahil buat anggota bomba mengawalnya disebabkan keadaan cuaca.

“Jika kebakaran berlaku, aktiviti bertambah buruk, pantas dan sukar dikawal,” kata penolong ketua pegawai perkhidmatan Bomba Selatan Australia kepada media di ibu kota Adelaide.

Tambahnya, pihaknya menganggap tujuh amaran kebakaran malapetaka tidak boleh dipandang ringan.

Australia terdedah kepada kebakaran belukar ketika musim panas kering namun siri kebakaran luar kawalan tercetus lebih awal pada musim bunga di selatan susulan kemarau tiga tahun yang menyebabkan sejumlah besar negara itu kering kontang.

Ketika ancaman segera berlaku di selatan hari ini, anggota bomba terus bergelut memadam kira-kira 100 kebakaran yang marak selama beberapa hari di seluruh kawasan pantai timur Australia.

Ibu kota ini, bandar paling padat dengan kira-kira lima juta penduduk diselubungi asap tebal hari kedua berturut-turut.

Pihak berkuasa kesihatan memberi amaran penduduk di bandar pelabuhan itu supaya tidak keluar rumah ketika asap mencapai paras bahaya. -Reuters



Sumber : Kebakaran belukar, lebih 100 sekolah ditutup di Australia

Post a Comment

0 Comments