Kecederaan Hazard tak serius

MADRID: Kecederaan buku lali Eden Hazard tidak seteruk seperti yang dibimbangkan dengan Real Madrid mengesahkan pemain itu hanya mengalami ‘lebam’ ketika pertemuan dengan Paris Saint-Germain (PSG), semalam.

Hazard terpaksa diketepikan pada babak kedua yang menyaksikan Real terikat 2-2 dengan PSG di Santiago Bernabeu dengan pengendali Real, Zinedine Zidane berkata pemain kelahiran Belgium itu mengalami masalah di bahagian buku lali.

Begitupun, bekas pemain Chelsea itu dijangka boleh beraksi dalam tempoh dua minggu sekali gus berpeluang untuk diturunkan bagi perlawanan Clasico menentang Barcelona pada 18 Disember ini di Nou Camp.

“Selepas ujian yang dijalankan kepada pemain kami Eden Hazard oleh pasukan perubatan Real Madrid, dia didapati mengalami lebam pada kaki kanannya,” kata Real dalam satu kenyataan.

Hazard begitupun akan terlepas perlawanan Real menentang Alaves, Sabtu ini dalam aksi La Liga tetapi berpeluang bermain pada aksi terakhir peringkat kumpulan Liga Juara-Juara menentang Club Brugge pada 11 Disember.

Selain itu, Real turut dijadual melawan Espanyol di gelanggang sendiri pada 7 Disember.

Keputusan seri membabitkan Brugge dengan Galatasaray, semalam turut bermakna skuad kendalian Zidane akan menamatkan saingan Kumpulan A Liga Juara-Juara selaku naib juara tanpa melihat kepada keputusan perlawanan terakhir. - AFP



Sumber : Kecederaan Hazard tak serius

Post a Comment

0 Comments