Kedah tidak naik tarif air

ALOR SETAR: Kerajaan negeri tetap dengan pendirian tidak akan menaikkan tarif air, walaupun Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mencadangkan Kedah berbuat demikian bagi memastikan syarikat operator air tidak mengalami kerugian.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air dan Tenaga negeri, Datuk Zamri Yusuf, berkata pihaknya sebelum ini ada mengemukakan cadangan lain kepada SPAN bagi menambah baik perkhidmatan termasuk memastikan Syarikat Air Darul Aman (SADA) meraih keuntungan.

“SPAN sebelum ini meminta Kedah menyemak semula tarif air yang dilihat rendah daripada paras kos operasi sebenar dengan setiap rakyat Kedah cuma membayar 20 sen seorang secara purata sehari.

“Kita juga sudah menyatakan cadangkan penambahbaikan perkhidmatan SADA tanpa perlu menaikkan tarif air kerana kita tidak mahu membebankan pengguna kerana sedar masih terdapat kawasan mengalami gangguan tekanan air rendah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Hari Sungai dan Komuniti di Kampung Berjaya, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Zamri berkata antara langkah yang sedang dilakukan adalah meminta pegawai SADA bersama kakitangan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah mengenal pasti secara lebih spesifik kawasan yang terjejas.

Katanya, ia adalah sebahagian formula bagi mencari kaedah penyelesaian terbaik mengatasi gangguan bekalan air seterusnya peruntukan khas untuk SADA di bawah Belanjawan 2020 dapat diguna secara lebih efisien.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kejadian banjir kilat yang kerap melanda negeri ini ketika musim hujan, Zamri berkata, keadaan berkenaan berlaku disebabkan pelbagai punca antaranya sistem saliran yang kurang berfungsi.

“Di Kedah, banyak taman perumahan baharu dan kita minta pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (SWCorp) pantau keadaan saliran dan parit yang tersumbat disebabkan sampah ataupun pemaju tidak membina saliran yang sesuai bagi menampung air hujan.

“Kita telah kenal pasti beberapa projek perumahan di sekitar Alor Setar, Jitra serta Kulim yang PBT akan ambil tindakan sewajarnya kepada pemaju yang gagal mematuhi standard ditetapkan,” katanya.



Sumber : Kedah tidak naik tarif air

Post a Comment

0 Comments