Kluster Kayangan Atau Bumi Sama Saja. Ismail Sabri Jawab Isu VIP Beraya Sesuka Hati, Tak Patuh SOP

Sebelum ini orang ramai mempersoalkan tindakan golongan VIP yang ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan dengan melakukan perjumpaan beramai-ramai dan tidak patuh arahan penjarakan sosial.

Kemudian ketika bulan puasa, timbul juga isu VIP berbuka beramai-ramai dengan pengikut ketika melakukan kunjungan dan kerja amal.

Terbaru orang ramai memperkatakan pula golongan VIP menyambut Aidilfitri tanpa patuh kepada arahan penjarakan sosial dan sesuka hati menyambut tetamu melebih had ditetapkan.

Susulan itu, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mula menjawab perkara tersebut.

Standard Operation Procedure (SOP) yang ditetapkan sepanjang perayaan Aidilfitri tertakluk ke atas semua rakyat Malaysia tanpa mengira pangkat atau darjat.

Demikian kata Ismail Sabri Yaakob menerusi sidang media hariannya pada Rabu.

Kluster kayangan dan kluster bumi sama saja

Ismail mengulas hal itu susulan timbulnya dakwaan segelintir golongan kenamaan atau VIP yang dilihat ingkar SOP ketika meraikan hari mulia itu.

” SOP sama, tidak ada perbezaan antara kluster kayangan dan kluster bumi. Sama sahaja.

” Sesiapa yang melakukan kesalahan akan dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa. Kalau pihak polis mengetahui mengenainya kita serahkan pada polis untuk jalankan tugas mereka,” ujarnya.

Dalam sesi soal jawab itu, Ismail sempat berseloroh apabila diminta oleh wartawan agar memberi jawapan melibatkan kes golongan VIP.

” Sejujur-jujurnya, memang setiap hari saya jujur bila menjawab,” ujarnya sambil tersenyum.

Sementara itu, Ismail turut mengulas isu serbuan di kolam pancing yang mana sebilangan pengunjung telah dikenakan kompuan oleh pihak polis.

” Saya dah sebut beberapa kali, memancing dianggap seperti riadah, tetapi riadah yang menyebabkan perhimpunan beramai-ramai tidak boleh.

” Saya dah sebut, kolam kita tak benarkan. Kolam biasanya tak macam tasik yang boleh ada jarak. Tepi sungai, sawah mungkin boleh.

” Tapi kolam tak besar, biasanya di kolam ni ramai di sekeliling. Apa sahaja aktiviti yang menyebabkan berlaku perkumpulan, diletak di bawah senarai terlarang (negatif list),” ujarnya.

Dalam sidang media sama, Ismail juga menggesa mana-mana syarikat agar menjalankan temuduga secara maya menerusi panggilan video dalam usaha mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

Malah tegasnya, kerajaan langsung tidak akan membenarkan perjalanan rentas negeri dilakukan atas alasan temu duga kerja.

” Sekarang zaman moden, tak perlu bersemuka untuk temu duga. Boleh Skype, sidang video. Gunakan maya untuk temu duga.

” Jadi saya nasihatkan syarikat-syarikat yang ingin membuat temu duga, gunakan temu duga secara maya kerana kita tidak benarkan rentas negeri setakat hari ini,” katanya.




via 1 MIN READ

Post a Comment

0 Comments