Lima sekolah antarabangsa diwujudkan di Sarawak

SARATOK: Komitmen Kerajaan Sarawak untuk meningkatkan taraf hidup golongan muda terserlah menerusi usaha pembinaan lima sekolah antarabangsa di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berkata, usaha itu adalah antara inisiatif jangka panjang kerajaan untuk melahirkan modal insan cemerlang pada masa akan datang.

“Lima sekolah antarabangsa akan dibina sebagai permulaan. Sekolah berasrama itu akan menggunakan sukatan mata pelajaran antarabangsa seperti di Universiti Cambridge.

“Anak nelayan dan petani yang mempunyai kelayakan akademik tinggi akan ditempatkan di sekolah itu nanti, manakala yurannya pula ditanggung oleh Kerajaan Sarawak,” katanya pada Majlis Perasmian Sambutan Ulang Tahun ke 100 Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Leman Kabong, di sini, hari ini.

Abang Johari diarak menggunakan Sungan sebaik tiba untuk merasmikan Sambutan Ulang Tahun Ke-100 SK Abang Leman Kabong di Saratok. - NSTP/Khalid Latip

Turut hadir, Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Datuk Seri Michael Manyin Jawong, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelaka, Datuk Abdul Wahab Aziz; ADUN Kabong, Chee Kadir; Residen Betong, Friday Black dan Pegawai Pendidikan Daerah, Anis Madeli.

Abang Johari berkata, selain menyediakan suasana pembelajaran yang lebih kondusif, sekolah berkenaan juga bakal meningkatkan daya saing pelajar untuk meraih keputusan cemerlang sebelum layak melanjutkan pengajian ke peringkat antarabangsa.

Katanya, antara universiti yang menyediakan tempat untuk pelajar dari sekolah itu nanti ialah Universiti Cambridge dan London School of Economic.

“Kita masih berbincang dengan Universiti Stanford Amerika Syarikat. Jika ada persetujuan, universiti itu juga akan menyediakan satu lagi tempat untuk anak- anak kita pada tahun depan.

“Peluang ini terbuka kepada pelajar bumiputera dan bukan bumiputera. Jika layak, kita akan hantar melalui Yayasan Sarawak,” katanya.

Sementara itu, beliau mengumumkan pembinaan sebuah bangunan khas untuk menempatkan makmal komputer di SK Abang Leman.

“Bangunan bernilai kira-kira RM250,000 itu akan dibina tahun depan, menempatkan ruang pembelajaran komputer khas untuk meningkatkan penguasaan murid sekolah itu dalam bidang IT,” katanya..



Sumber : Lima sekolah antarabangsa diwujudkan di Sarawak

Post a Comment

0 Comments