TUARAN: Mayat pekerja penyelenggaraan ‘flying fox’ yang dilaporkan hilang selepas terjatuh ke Sungai Tuaran di Taman Duta Villa, Tamparuli, di sini, sejak Isnin lalu, ditemui pagi tadi.
Mayat mangsa yang dikenali sebagai Tai Kee Ting, 29, itu ditemui rakan sekerjanya yang turut serta dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira jam 10.30 pagi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Tuaran, Abdul Qawie Abdul Gapar, berkata mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, mayat mangsa ditemui terapung di tepi sungai sejauh satu kilometer dari lokasi dia dilaporkan terjatuh.
“Pihak bomba terpaksa meluaskan kawasan pencarian sehingga enam kilometer, namun keadaan air deras dan kabut menyebabkan mangsa sukar ditemui.
“Operasi sudah memasuki hari ketiga dan keadaan air yang mulai jernih memudahkan penemuan mayat mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Abdul Qawie berkata, operasi yang disertai seramai 10 anggota dan pegawai itu ditamatkan pada jam 12.08 tengah hari.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim mengesahkan penemuan mayat terbabit.
Katanya, mayat mangsa sudah dihantar ke hospital Queen Elizabeth dan setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Dalam kejadian Isnin lalu, mangsa dikatakan cuba menyeberangi sungai menggunakan ‘flying fox’ untuk menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan.
Bagaimanapun, struktur besi permainan berkenaan tumbang sehingga menyebabkan tali sauh berserta mangsa terjatuh ke dalam sungai.
Sumber : Mayat Penyelenggara 'flying fox' ditemui
0 Comments