Pemegang saham FGV lulus ganjaran Lembaga Pengarah

KUALA LUMPUR: Kemelut pakej ganjaran Lembaga Pengarah FGV Holdings Bhd (FGV) yang berpanjangan akhirnya dimuktamadkan pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) kumpulan itu, hari ini.

Ketua Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan, berkata sejumlah 99.96 peratus pemegang saham sudah memberikan persetujuan kepada enam resolusi bayaran Lembaga Pengarah.

“Semua enam resolusi berkaitan bayaran dan manfaat Pengerusi dan Lembaga Pengarah telah diluluskan hari ini oleh pemegang saham yang hadir,” katanya.

Pada mesyuarat agung tahunan (AGM) FGV yang berlangsung beberapa bulan lalu menyaksikan resolusi pembayaran Lembaga Pengarah ditolak, namun begitu beberapa perbincangan sudah dibuat dengan pemegang saham utama, yang mana umumnya memahami kebimbangan mereka.

“Resolusi baharu dibuat selepas kami mendapat hasil perbincangan berkenaan dan ia juga selaras dengan amalan syarikat berkaitan kerajaan yang lain (GLC),” tambahnya.

Pada Jun lalu, FELDA yang memiliki 33.6 peratus kepentingan saham dalam FGV serta Koperasi Permodalan Felda Malaysia Bhd dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), yang mana masing-masing memiliki 5.0 peratus dan 1.25 peratus kepentingan, telah menolak cadangan pembayaran pengarah oleh FGV selepas AGM yang berlangsung selama lima jam.

EGM yang berlangsung hari ini juga menyaksikan syarikat berkenaan mengurangkan bayaran pengarahnya bagi tahun kewangan 2018 (FY2018) kepada RM1.1 juta dan RM490,272 bagi yuran jawatankuasa lembaga.

Syarikat itu juga meluluskan yuran bulanan lembaga sebanyak RM10,000 kepada setiap Pengarah bukan Eksekutif bermula 1 Januari 2019 hingga AGM berikutnya yang akan diadakan tahun depan.

Dalam satu notis kepada pemegang saham, lembaga itu berkata ia juga meluluskan bayarab yuran tahunan sebanyak RM300,000 yang akan dibayar kepada Pengerusi bukan Eksekutif dari 1 Januari tahun ini sehingga AGM berikutnya pada 2020.

Sementara itu, Haris berkata, pihak Lembaga Pengarah juga telah memacu program pembaharuan di FGV yang sudah mula menunjukkan hasil.

“Kami telah melaporkan kemajuan yang dibuat untuk program ini pada sesi penerangan suku tahun yang lalu,” katanya.

Beliau menekankan bahawa Lembaga Pengarah sentiasa cuba untuk menyelesaikan masalah lama di FGV dan bekerja keras untuk mengembalikan nilai pemegang saham yang musnah sebelum ini.

Haris juga berkata bahawa lembaga sedang berhadapan dengan cabaran berkembar membabitkan prestasi operasi yang lemah yang menyebabkan impak kepada prestasi kewangan dan pelaburan legasi.

“Kami di FGV sedang dalam proses untuk menyelesaikan semua isu ini. Apabila kami sudah menyelesaikan semua isu lama, kami akan mula melihat hasil strategi pertumbuhan yang sedang direncanakan,” tambahnya.



Sumber : Pemegang saham FGV lulus ganjaran Lembaga Pengarah

Post a Comment

0 Comments