Real mara selepas seri berdepan PSG

MADRID: Real Madrid kembali meraih rentak selaku pencabar utama di Liga Juara-Juara apabila mempamer aksi memukau namun terpaksa akur apabila seri 2-2 ketika berdepan Paris St Germain (PSG) yang muncul juara Kumpulan A dalam saingan di laman sendiri pagi tadi.

Real melebarkan rekod kemaraan ke pusingan kalah mati untuk tempoh 23 tahun hasil keputusan Club Bruges yang seri 1-1 berdepan juara Turki, Galatasaray, pagi tadi.

PSG yang sudahpun melayakkan diri sebelum ini menewaskan Real 3-0 September lalu.

Kedua-dua pasukan mempamerkan aksi tebaik mereka dalam pertembungan di Santiago Bernabeu itu.

Karim Benzema menemui sasaran pada minit ke-17 untuk merakam jaringan ke-100 di Liga Juara-Juara dan sekali lagi membocorkan gawang lawan menerusi tandukan pada minit ke-79.

Namun Kylian Mbappe segera membalas pada minit ke-81 dengan memanfaatkan kesilapan penjaga gol Real, Thibaut Courtois sebelum Pablo Sarabia meledak gol penyamaan seminit kemudian.

Kebangkitan PSG sudah diduga selepas sayap Real, Eden Hazard bergelut di babak kedua apabila cedera di buku lali meskipun penggantinya, Gareth Bale nyaris menemui sasaran selepas cubaannya terkena palang.

Jurulatih Real, Zinedine Zidane bingung melihat anak buahnya gagal menyambar peluang namun tetap puas hati dengan persembahanya pemain Real.

Pemain Real Madrid, Eden Hazard (kiri) diasak pemain PSG, Angel Di Maria pada aksi perlawanan Liga Juara-Juara, pagi tadi. - Foto EPA

"Saya gembira dengan segala-gala yang diberikan setipa pemain. Mereka semua memperagakan aksi terbaik. Perlawanan tadi memang berlangsung dalam aksi terhebat,” katanya.

"Pemain berhak diberi pujian. Saya lazimnya jarang memuji mereka tetapi selepas menilai perlawanan 90 minit itu saya percayai mereka.”

Zidane dalam pada itu mengakui bimbang dengan kecederaan Hazard yang memperaga watak sebenar selepas bermula hambar awal musim sejak tiba di Real, namun tidak memberikan butiran terperinci mengenainya.

Sementara itu, pemain midfield PSG, Marco Veratti mengakui barisannya gagal menandingi kehebatan tuan rumah namun turut memuji reaksi kebangkitan yang dipamerkan.

"Pada separuh masa pertama, kami tidak memperagakan aksi sebenar dan banyak bergelut, memang sukar berdepan mereka di sini. Hanya beberapa pasukan yang boleh menang di sini,” katanya.

"Kami kembali bersemangat pada babak kedua, meskipun banyak terlepas peluang, kami berjaya beraksi pada tahap sebenar yang kami harapkan.”

PSG muncul juara Kumpulan A dengan 13 mata daripada lima perlawanan manakala Real di tangga kedua dengan lapan mata.

Club Bruges, yang akan dikunjungi Real pada aksi terakhir kumpulan bulan depan menduduki tangga ketiga dengan tiga mata manakala Galatasaray yang akan berkunjung ke PSG, sekadar mengutip dua mata di tangga keempat.  – Reuters

Penyerang PSG, Kylian Mbappe (kiri) mengawal bola dari pemain Real Madrid pada perlawanan Liga Juara-Juara, pagi tadi. - Foto EPA



Sumber : Real mara selepas seri berdepan PSG

Post a Comment

0 Comments