Handal tumpu penyelenggaraan, penyewaan kren di Sabah dan Sarawak

KOTA KINABALU: Handal Energy Bhd akan memberi tumpuan ke atas operasi, penyelenggaraan serta penyewaan kren di Sabah dalam beberapa tahun akan datang, kata Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Terry Biusing.

Handal adalah syarikat minyak dan gas yang mempunyai kepakaran dalam pembuatan, penyelenggaraan serta perkhidmatan kren luar pesisir. Ia memiliki pengalaman selama lebih 20 tahun serta beroperasi di Malaysia, Thailand dan Indonesia.

Biusing juga yakin bahawa syarikat itu mempunyai prospek yang baik untuk mengembangkan operasi perniagaannya di Sabah.

"Saya fikir dalam konteks Malaysia, projek yang sedang kami laksanakan sekarang ini iaitu pembangunan modul suntikan air, diharap dapat dihantar ke medan operasi di Semenanjung Malaysia dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang.

"Saya melihat ada peluang perniagaan baharu untuk Handal selain daripada penyelenggaraan saluran paip dan kren," katanya kepada BERNAMA.

Dari segi pertumbuhan masa depan, syarikat itu mempunyai beberapa medan sasaran di Sabah tetapi buat masa ini, beliau enggan mendedahkan lokasi medan berkenaan.

Handal, juga akan mengumpulkan sumbernya dalam operasi sedia ada di Sarawak dan Labuan serta menyediakan perkhidmatan sama, selain mengembangkan lagi skop perkhidmatan kepada penyelenggaraan kren.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Handal, Sunildeep Singh Dhaliwal, berkata syarikat itu mencatatkan keuntungan selepas cukai RM3.2 juta berikutan pertumbuhan ketara dalam hasil kepada RM32.3 juta pada suku pertama berakhir 30 September 2019.

"Titik tumpuan kepada keputusan ini adalah perkembangan yang tidak pernah berlaku pada Handal, selepas merekodkan kerugian dalam beberapa suku sebelumnya. Ini disumbangkan terutamanya oleh subsidiari milik 51 peratus kami, iaitu Borneo Seaoffshore Engineering Sdn Bhd," katanya.

Sunildeep menambah, selain daripada memenangi lebih banyak kontrak, Handal akan mengadakan beberapa peningkatan dengan tujuan untuk mengekalkan pertumbuhan kewangan yang mampan bagi kumpulan, ini merangkumi penambahbaikan dalam kos dan kecekapan pemprosesan.

"Handal juga akan meletakkan keutamaan ke atas pembangunan bakat dalam kumpulan. Ini dapat dilihat melalui kontrak kami yang terkini di Sabah dan Sarawak yang mana kami mula membina asas bakat tempatan di tempat yang kami kendalikan," katanya.

Kali terakhir Handal mencatatkan keuntungan selepas cukai adalah dalam suku berakhir pada 31 Disember 2017.

Lembaran imbangan Handal juga telah diperkukuhkan dengan tunai bersih sebanyak RM5.7 juta, yang direkodkan pada hujung September 2019 berbanding dengan hutang bersih melebihi RM11 juta pada kira-kira dua tahun lalu. - BERNAMA



Sumber : Handal tumpu penyelenggaraan, penyewaan kren di Sabah dan Sarawak

Post a Comment

0 Comments